KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati dalam persekitaran ketidakpastian global apabila pelabur memantau perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang sedang berlaku dan pergerakan harga tenaga global, kata Apex Securities Bhd.
Firma pembrokeran saham itu dalam satu nota penyelidikan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,698.51 minggu lepas, diunjur kekal sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan trend pasaran serantau.
“Pelabur juga akan menumpukan perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang, dijadualkan diadakan pada 17 hingga 18 Mac untuk petunjuk dasar seterusnya,” katanya.
Apex Securities memilih sektor berorientasikan eksport di sebalik ketegangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan mata wang.
“Harga minyak yang lebih tinggi boleh menyokong sektor tenaga dan perladangan, manakala pelaburan hasil defensif seperti amanah pelaburan hartanah dan utiliti kekal menarik apabila pelabur mencari kestabilan dalam persekitaran yang tidak menentu,” katanya.
Ia berkata FBM KLCI terus diniagakan di atas garisan trend meningkat semasa, menunjukkan bahawa struktur kenaikkan yang lebih luas kekal kukuh ketika ini.
"Selagi indeks kekal di atas zon sokongan 1,685-1,690, aliran menaik semasa mungkin akan kekal utuh. Penembusan ketara di bawah paras ini akan melemahkan struktur teknikal dan mungkin memberi petunjuk fasa pembetulan yang lebih meluas,” katanya.
Apex Securities berkata minyak mentah Brent meneruskan kenaikannya minggu lalu, meningkat 2.10 peratus kepada AS$103.89 setong selepas Presiden AS Donald Trump mengarahkan serangan ke atas aset ketenteraan Iran di Pulau Kharg pada Jumaat lepas.
Walaupun serangan itu dilaporkan menyebabkan infrastruktur minyak tidak terjejas, Trump memberi amaran bahawa AS boleh menyasarkan kemudahan minyak mentah di pulau itu jika Iran terus menyekat Selat Hormuz yang berkedudukan strategik, berpotensi mencetuskan respons lebih teruk oleh Tehran dan mengekalkan harga minyak tinggi.
Lonjakan harga minyak telah meningkatkan kebimbangan di Wall Street mengenai berkemungkinan mewujudkan persekitaran stagflasi, dicirikan oleh kenaikan inflasi dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, sekali gus mendorong pelabur untuk mengurangkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dengan pasaran kini menjangkakan hanya satu penurunan berpotensi berlaku pada Disember, kata Apex Securities.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial