KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan hasrat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggunakan Stadium Juara di Bukit Kiara sebagai gelanggang latihan tambahan skuad negara.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas Aidilfitri ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
“BAM ada buat kunjungan ke pejabat saya dua minggu lepas dan isu (penggunaan Stadium Juara) tersebut antara yang dibangkitkan kerana penggunaan stadium itu akan menjimatkan urusan pengangkutan dan logistik.
“Jadi mungkin selepas raya kita akan buat keputusan yang mana ia adalah keputusan terbaik untuk atlet kita,” katanya selepas melawat Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Dr Mohammed Taufiq sempat melawat fasiliti yang dimiliki ABM selain bertemu barisan pemain kebangsaan.
Ketika ditanya mengenai prestasi skuad badminton kebangsaan, Ahli Parlimen Sungai Petani itu mengakui berpuas hati dengan pencapaian mereka yang berada pada tahap cukup baik dan memberangsangkan.
Bagaimanapun beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan prestasi semasa mereka dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dan memberikan aksi yang terbaik.
“Saya harap seluruh rakyat Malaysia beri sokongan dan jangan bagi komen negatif kerana ia sedikit sebanyak akan beri kesan tidak baik kepada atlet,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial