EKONOMI

IJM Cadang Keluar Daripada Pelaburan Lebuh Raya Di India Untuk Memanfaatkan Nilai

16/03/2026 06:43 PM

PETALING JAYA, 16 Mac (Bernama) -- IJM Corp Bhd bercadang untuk keluar daripada pelaburan lebuh raya di India sebagai antara usahanya untuk memanfaatkan nilai kepada pemegang saham.

Langkah ini susulan kenyataan penasihat bebas IJM, M&A Securities Sdn Bhd pada Jumaat lepas bahawa tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd pada harga RM3.15 sesaham sebagai tidak adil dan tidak munasabah sekali gus menyarankan pemegang saham menolak tawaran itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Lee Chun Fai berkata cadangan untuk keluar daripada pelaburan di India itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk menyusun semula portfolio dan membolehkan pasaran lebih menghargai nilai aset syarikat.

"Sebagai sebahagian daripada strateginya pada masa hadapan, IJM bercadang untuk menamatkan pelaburannya di India dengan menjana keuntungan daripada dua lebuh raya bertol dan tiga pembangunan hartanah di negara ini," katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Lee berkata apabila IJM semakin mengembangkan perniagaan ke United Kingdom (UK), mengurus pendedahan akibat pelbagai mata wang asing menambahkan kerumitan kepada operasi kumpulan.

“Dalam tempoh tiga tahun lepas, operasi kami di India merekodkan kerugian kira-kira RM184 juta. Penyusutan nilai mata wang telah menjejaskan pulangan, dan standard perakaunan memerlukan kami untuk menilai semula aset ini berdasarkan kadar pertukaran semasa.

"Oleh itu, strategi kami adalah untuk menjana keuntungan daripada aset-aset ini dan menggunakan semula modal itu ke kawasan-kawasan yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih kukuh," kata Lee.

Beliau berkata model perniagaan IJM adalah untuk sentiasa membina aset, membangunkannya dan akhirnya menjana keuntungan apabila aset itu mencapai tahap matang.

“Sebagai contoh, apabila kami menjual aset bertol di Trichy, kami membayar dividen khas. Malah, apabila kami menjual IJM Plantations, kami mengagihkan dividen khas kepada pemegang saham,” katanya.

Mengenai pelaburan di UK, beliau berkata kumpulan itu telah melabur secara aktif sejak dua tahun lepas, dengan dua aset utama adalah pembangunan 88 Royal Mint Street dan 25 Finsbury Circus.

Pendekatan kumpulan itu adalah untuk membina aset dan mendapatkan penyewa terlebih dahulu sekali gus mengurangkan risiko pelaburan, katanya.

“Projek Royal Mint kini berada dalam fasa kedua pembangunan. Kami telah mendapatkan perjanjian pajakan dengan operator hotel, yang membolehkan kami memperoleh pendapatan sewa apabila bangunan itu dibuka tanpa perlu menanggung risiko operasi mengendalikan hotel itu.

“Bagi projek Finsbury Circus, kami telah mendapatkan perjanjian pajakan dengan firma guaman Simmons & Simmons LLP, yang telah menyewa 61 peratus daripada ruang itu dengan pilihan untuk meningkatkannya kepada 80 peratus sekali gus mengurangkan risiko pelaburan dan memastikan jaminan pendapatan,” katanya.

Kumpulan itu juga telah melabur dalam aset logistik seperti Shah Alam International Logistics Hub dan EXIO Logistics di Malaysia.

Beliau berkata IJM berperanan sebagai pelabur dan kontraktor sekali gus mewujudkan sinergi dengan melaksanakan kerja-kerja pembinaan, dan pada masa sama membekalkan bahan binaan melalui segmen industrinya.

Mengenai tawaran pengambilalihan oleh Sunway, beliau berkata penilaian oleh M&A Securities menganggarkan nilai saham IJM antara RM5.84 hingga RM6.48 sesaham manakala penilaian berasingan oleh Rothschild & Co adalah antara RM4.80 hingga RM5.63 sesaham.

“Apabila kedua-dua penilaian bebas dibandingkan dengan harga tawaran RM3.15, adalah jelas bahawa tawaran berkenaan mewakili diskaun yang besar.

Berdasarkan penilaian ini, diskaun adalah kira-kira 47 hingga 52 peratus berbanding nilai saksama saham IJM,” katanya.

Beliau berkata untuk memahami penilaian IJM dengan lebih baik, perlu diakui bahawa banyak aset syarikat masih berada pada peringkat awal pembangunan.

“Pelaburan dalam aset penting mengambil masa sebelum mula menjana pulangan. Dalam tempoh pembangunan awal, keuntungan mungkin tidak serta-merta mencerminkan nilai pelaburan tersebut,” jelasnya.

Beliau yang memberi contoh Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) milik kumpulan itu berkata projek tersebut dilaksanakan selama hampir 12 tahun.

“Pada mulanya projek itu dijangka mengambil masa lima tahun, namun kelewatan dari segi pengambilan tanah menyebabkan bahagian terakhir tanah hanya berjaya diperoleh pada Disember lepas. Akibatnya, pulangan turut tertangguh kerana aset tersebut masih dalam fasa pembangunan,” katanya.

Beliau berkata dari semasa ke semasa, hartanah pelaburan itu akan menjana pulangan, namun banyak daripadanya masih berada dalam fasa pelaburan dan belum lagi menyumbang secara signifikan kepada pendapatan.

“Inilah sebabnya menilai IJM semata-mata berdasarkan pendapatan semasa tidak menggambarkan sepenuhnya nilai aset asas syarikat,” katanya.

Beliau berkata menerima tawaran Sunway bermakna pemegang saham hanya akan memegang kira-kira 20.6 peratus daripada kumpulan Sunway yang diperbesarkan manakala kekal melabur dalam IJM membolehkan mereka mengekalkan pendedahan penuh kepada potensi pertumbuhan masa depan syarikat.

“IJM ketika ini berada pada tahap rendah dalam kitaran pendapatannya, tetapi pada tahap tinggi dari segi nilai aset. Tawaran Sunway hadir ketika banyak aset kami masih dalam pembangunan dan belum menjana pulangan sepenuhnya.

“Sebagai analogi mudah, aset Sunway telah membuahkan hasil manakala IJM masih ‘menanam dan menyemai pokok’. Apabila matang, aset ini akan menjana nilai yang besar kepada pemegang saham,” katanya.

Pelabur institusi berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd, merupakan antara pemegang saham utama IJM.

Tawaran pengambilalihan oleh Sunway kekal dibuka sehingga 6 April.

Usaha Sunway itu memerlukan penerimaan lebih 50 peratus pemegang saham untuk diteruskan, jika tidak tawaran tersebut akan luput dan IJM akan kekal sebagai syarikat bebas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan