Bermula dengan rasa ingin tahu tentang keistimewaan sarang burung walet, kini Hadi Salleh meraih pendapatan lumayan hasil jualan sarang unggas liar itu.
Terlibat dalam bidang itu secara serius sejak 2013, Hadi yang lebih mesra dipanggil Cikgu Hadi, 55, mampu menuai antara 50 ke 100 kilogram sarang setahun dengan nilai kira-kira RM100,000, bergantung pada nilai pasaran semasa.
“Pada awalnya saya cuma mahu tahu kenapa sarang burung walet begitu bernilai. Apabila saya dalami, barulah saya sedar potensi sarang burung ini melangkaui manfaat kesihatan kerana, jika diurus dengan ilmu dan strategi yang betul, pengusaha mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Dihasilkan daripada air liur burung walet, iaitu sejenis burung layang-layang, sarang unggas ini kaya dengan glikoprotein serta asid sialik dan dianggap sebagai makanan kesihatan eksklusif dengan pelbagai khasiat, termasuk meningkatkan imuniti dan agen antipenuaan.
MODAL BESAR, PERLU ILMU
Berkongsi perjalanannya sebagai usahawan sarang burung walet, Cikgu Hadi berkata pada masa ini terdapat kira-kira 8,000 ekor unggas itu yang menjadikan struktur tiga tingkat miliknya di Felda Gugusan Adela di sini sebagai tempat bersarang.
“Dulu, cuma dapat kutip sekitar 360 sarang setahun, tetapi sekarang saya dapat tuai kira-kira 5,000 sarang,” katanya.
Bagaimanapun, menurut bekas guru pendidikan khas ini, untuk menjadi usahawan sarang burung walet bukan mudah dan memerlukan ilmu serta modal yang besar di peringkat awal.
“Nak mulakan projek ini perlu ada ilmu. Burung walet tidak boleh diusahakan secara melulu. Kita perlu faham teknik untuk menarik kehadirannya serta cara penjagaan yang betul,” ujarnya yang bermula dengan berbekalkan ilmu diraih daripada penyertaan kursus, pembelajaran kendiri dan pemerhatian di lapangan.
Mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM400,000, Cikgu Hadi membina rumah burung yang diperbuat daripada simen dan kayu secara berperingkat selepas mengenal pasti laluan hidupan berkenaan.
“Untuk kenal pasti laluan kita guna frekuensi bunyi. Apabila ada burung berterbangan di kawasan frekuensi dimainkan, bermakna kawasan itu sesuai untuk dibangunkan rumah sarang,” jelasnya.
Akan tetapi katanya, cabaran utama ialah “mempelawa” burung walet memasuki binaan tersebut dan seterusnya tinggal serta membuat sarang di situ.
“Pada peringkat ini, kita gunakan rakaman bunyi panggilan burung yang dipasang menggunakan pembesar suara serta semburan wap EM, iaitu cecair berasaskan buah-buahan bagi memikat burung walet untuk masuk ke dalam bangunan.
“Apabila burung mula selesa, mereka akan membuat calitan pada struktur siling sebelum membentuk sarang sepenuhnya. Proses ini ambil masa dan memerlukan kesabaran,” katanya.
Tambahnya, burung itu sukakan tempat gelap, terlindung dan tenang dengan kedudukan siling pada ketinggian tiga hingga enam meter.
“Jika semua syarat ini dipenuhi, burung walet akan mula datang dalam tempoh dua hingga enam minggu. Namun begitu, ini bukan jaminan kerana ada yang mengambil masa beberapa bulan untuk unggas ini menetap dan membina sarang pertama,” katanya.
Beliau bernasib baik kerana dapat melihat hasil hanya selepas enam bulan mendirikan binaan tersebut.
“Ketika itu tidak banyak, hanya sekitar 500 hingga 600 gram,” katanya.
“EMAS PUTIH” BERNILAI TINGGI
Jika kayu gaharu dianggap “emas hitam” dalam dunia agro, sarang burung walet pula digelar “emas putih” dengan harga pasaran mampu mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sekilo, bergantung pada gred dan juga permintaan.
“Di rumah sarang saya kebanyakan hasil adalah gred A. Harganya boleh melebihi RM2,000 sekilogram untuk pasaran tempatan,” katanya.
Menurut Cikgu Hadi, untuk mencapai gred A, sarang perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk tidak terlalu berbulu, berbentuk sempurna, tidak hancur serta mempunyai ton putih cerah.
“Sarang ini kita tuai selepas anak burung telah besar dan terbang keluar, iaitu sarang tersebut tidak lagi digunakan. Antara indikator ialah sarang kering dan keras, tidak ada burung dewasa atau anak burung di dalam sarang selain warna sarang biasanya lebih pucat atau keputihan,” katanya.
Menurut beliau, tempoh yang diambil untuk sesebuah sarang dapat dituai ialah sekitar tiga ke empat bulan selepas dibina.
“Proses tuaian pula perlu dilakukan dengan teliti, bukan sahaja kerana sarang itu bernilai tetapi turut melibatkan burung hidup. Peralatan yang lazimnya digunakan untuk proses tuaian ialah pisau kecil, sarung tangan dan tangga.
“Sarang juga perlu dipisahkan dari tapak dengan berhati-hati agar tidak retak atau pecah semasa ditanggalkan. Semburan air turut diguna bagi melembutkan sarang semasa proses tuaian,” jelasnya.
Beliau berkata sarang yang telah dituai kemudian perlu dibersihkan daripada bulu serta benda asing lain sebelum dikeringkan dan disimpan atau dibungkus untuk dipasarkan.
Menariknya, anak-anak burung yang menetas di situ akan tinggal dan bersarang di dalam binaan berkenaan, sekali gus bermaksud saiz koloni burung walet pengusaha bertambah besar.
Menurut Cikgu Hadi, sarang burungnya dijual mentah di pasaran tempatan.
CABARAN JADI PEMANGKIN INOVASI
Sepanjang lebih 10 tahun mengusahakan rumah sarang burung walet, Cikgu Hadi berkata beliau juga berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ancaman pemangsa, kerosakan struktur dan kecurian.
Kata beliau, antaranya rumah sarang miliknya pernah diancam burung hantu yang datang memburu burung walet, selain serangan anai-anai yang turut menyaksikan siling tapak burung bersarang runtuh akibat dimakan oleh makhluk perosak itu.
“Untuk menghalang burung hantu, saya cipta papan berpaku khas yang dipasang pada dinding roving room serta struktur berhampiran pintu masuk rumah walet bagi mengelak haiwan itu hinggap dan masuk ke dalam bangunan,” katanya yang turut memperkukuh platform sokongan di siling bagi menangani serangan anai-anai selain menjadi tapak baharu untuk burung membina sarang.
“Selain ancaman haiwan pemangsa dan makhluk perosak, rumah sarang ini juga pernah diceroboh oleh mereka yang berniat jahat, mencuri sarang-sarang burung yang belum lagi sedia untuk dituai. Bila kami datang, anak-anak burung bersepah di lantai,” kongsinya yang kemudian meningkatkan sistem keselamatan.
KHASIAT DAN KEYAKINAN
Bukan sekadar pengusaha, Cikgu Hadi dan isterinya Noraini Muhamad, 53 serta tiga anak mereka yang masing-masing berusia 23, 27 dan 30, turut mengamalkan minum air sarang burung walet dalam diet harian mereka.
“Ramai yang memuji kami kelihatan muda walaupun usia sudah melebihi separuh abad,” ujarnya, berseloroh.
Cara menyediakan air sarang burung ini juga mudah, iaitu sekadar direbus dengan air biasa sehingga berubah tekstur menjadi seakan-akan jeli jernih keputihan atau sup pekat.
Penulis dan juga jurufoto Bernama Hazrol Zainal turut berpeluang menikmati minuman kesihatan itu yang mempunyai rasa sangat ringan dan hampir neutral dengan sedikit aroma semula jadi.
BERBAKTI, MEMPERKASA KOMUNITI
Cikgu Hadi yang bersara pilihan pada September tahun lalu, turut berkongsi pengalamannya membela burung walet dengan komuniti, khususnya pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) ketika berkhidmat sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Mas, Kota Tinggi sejak 2011.
Menurutnya, pada 2014, beliau membina rumah sarang burung walet di kawasan kosong sekolah berkenaan sebagai projek eksperimen dengan kos pembinaan tidak sampai RM20,000, menggunakan bahan-bahan terpakai dan mudah diperoleh seperti polisterina dan jaring nyamuk.
Projek itu yang dilaksanakan bersama-sama dengan pelajar OKU, kini menjadi antara sumber utama dana bagi menampung projek-projek pelajar berkeperluan khas.
Selain itu, beliau juga berkongsi ilmu dengan masyarakat menerusi penganjuran kursus dan aktiviti komuniti bersama-sama sekolah lain seperti SMK Adela di sini.
Pada masa sama, beliau turut membimbing pelajar OKU mengusahakan pertanian fertigasi dengan tanaman cili padi yang dipasarkan sendiri oleh mereka.
Inisiatif itu membolehkan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu akademik, tetapi juga membina kemahiran praktikal, komunikasi dan keyakinan diri di luar bilik darjah.
Hasil usaha berterusan Cikgu Hadi kini memberi impak apabila pelajar yang terlibat menunjukkan peningkatan kemahiran dan keyakinan diri, selari dengan pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang diperkenalkan beliau.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial