AM

Sejumlah 191,832 Penagih Dadah Direkodkan Tahun Lepas, Turun 0.5 Peratus - AADK

15/03/2026 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Jumlah individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menjalani rawatan serta pemulihan di seluruh negara pada tahun lepas mencatatkan sedikit penurunan kepada 191,832 orang, berbanding 192,857 orang pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata angka berkenaan menunjukkan penurunan kira-kira 0.5 peratus, namun penyalahgunaan bahan terlarang itu masih melibatkan pelbagai peringkat umur.

Beliau berkata berdasarkan statistik 2025, tiada kes penagihan melibatkan kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun direkodkan berbanding tiga kes pada 2024, manakala bagi remaja berusia 13 hingga 18 tahun jumlah penagih menurun kepada 1,213 orang berbanding 1,255 orang pada tahun sebelumnya.

“Bagi kategori belia berusia 19 hingga 39 tahun, seramai 112,632 penagih direkodkan tahun lepas berbanding 116,254 orang pada 2024, manakala jumlah penagih bagi golongan dewasa berusia 40 hingga 59 tahun meningkat kepada 72,590 orang berbanding 70,188 sebelumnya.

“Bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas pula, jumlahnya turut meningkat kepada 5,397 orang berbanding 5,166 orang pada 2024,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, malam tadi. 

Ruslin berkata walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun lepas, keadaan itu tidak bermakna negara berada pada tahap selesa dan pihaknya mendapati masih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa, tidak mengenali jenis serta rupa bentuk dadah termasuk dadah sintetik.

“Sebahagian mereka juga tidak mengetahui bahawa cecair rokok elektronik atau vape boleh dicampur dengan dadah sintetik yang berisiko menyebabkan ketagihan dan penggunaan dadah sintetik boleh memberi kesan serius termasuk menyebabkan penggunanya mengalami halusinasi sehingga tidak lagi mengenali ahli keluarga atau orang di sekeliling,” katanya.

Justeru, beliau berkata program JABD ialah inisiatif berskala nasional berteraskan komuniti yang dilaksanakan secara berperingkat di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk menyebarluas kesedaran tentang bahaya dadah dan mempromosikan gaya hidup sihat terus kepada masyarakat akar umbi.

“Program itu mengetengahkan dua elemen utama iaitu Program Pasca Pemulihan (PCCP) bagi menyantuni klien yang tamat Program Rawatan Dalam Komuniti dan kempen Pesanan Antidadah (PESADA) oleh SKUAD Antidadah kepada orang awam,” katanya.

Selain itu, Ruslin berkata AADK turut melaksanakan program susulan menerusi inisiatif Aftercare, Follow-up and Peer (AFP) Treatment Support bagi memastikan bekas penagih kekal bebas daripada dadah.

“AADK juga menggerakkan pelbagai pihak termasuk Skuad Antidadah yang dianggotai oleh sukarelawan dalam kalangan belia seawal usia 18 tahun, Jawatankuasa Pemulihan Dadah peringkat daerah serta rakan strategik komuniti bagi memperluaskan usaha pencegahan dadah di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan