DUNIA

Perwakilan Diplomatik Malaysia Batal Rumah Terbuka Aidilfitri Susulan Penjimatan Kos

14/03/2026 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara membatalkan rancangan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri bagi mematuhi komitmen kerajaan untuk mengamalkan sikap lebih berjimat cermat dan kesederhanaan dalam perbelanjaan awam di tengah-tengah konflik Asia Barat yang sedang berterusan.

Kedutaan Besar Malaysia di Thailand mengumumkan pembatalan perhimpunan diaspora Malaysia di negara itu bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang dijadualkan pada April.

Kaunselor kedutaan itu, Jarin Sijaya Abdul Hathi, berkata dalam satu notis ringkas bahawa pembatalan itu merupakan sebahagian daripada langkah untuk menggalakkan perbelanjaan yang lebih berhemat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Kedutaan Besar Malaysia di Washington, D.C. juga mengumumkan pembatalan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang pada mulanya dijadualkan pada 20 Mac.

Dalam satu notis yang dimuat naik di Facebook, kedutaan itu menyatakan bahawa ia tidak dapat meneruskan penganjuran majlis tersebut, selaras dengan komitmen kerajaan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan turut membatalkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang pada mulanya dijadualkan pada 4 April.

Dalam satu notis, Suruhanjaya Tinggi itu berkata keputusan berkenaan dibuat selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengamalkan sikap lebih berjimat cermat dan kesederhanaan dalam perbelanjaan awam.

Kedua-dua perwakilan berkenaan merakamkan penghargaan atas pemahaman dan sokongan berterusan daripada komuniti.

Mereka menambah bahawa perwakilan terbabit kekal komited untuk berkhidmat kepada diaspora Malaysia dan memperkukuh ikatan sebagai satu keluarga Malaysia di luar negara.

Perwakilan itu juga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang diberkati dan bermakna kepada orang ramai terlebih dahulu.

Bernama juga difahamkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Helsinki dan Beijing tidak akan menganjurkan majlis rasmi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Langkah penjimatan kos kerajaan, termasuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan mengehadkan lawatan ke luar negara oleh menteri serta pegawai, menekankan komitmennya terhadap pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mendapat pujian daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk persatuan pengguna, kumpulan belia dan orang awam, yang kebanyakannya menyifatkannya sebagai pendekatan proaktif untuk menyemak semula perbelanjaan bukan kritikal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan