JENAYAH & MAHKAMAH

Identiti Warga Emas Rentung Dikenal Pasti, Dua Turut Cedera

13/03/2026 10:03 PM

KEPALA BATAS, 13 Mac (Bernama) -- Identiti wanita warga emas yang rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah berhampiran kedai nasi ayam berempah di Kampung Guar Kepayang di sini hari ini, telah dikenal pasti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohamad Shoki Hamzah berkata wanita itu dikenali sebagai Siti Aishah Ahamad berusia lingkungan 60-an dan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mayatnya ditemukan di dalam sebuah bilik di situ.

"Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa cedera ringan, iaitu suami mangsa Yaakub Aziz, 60-an, yang mengalami kecederaan melecur di tangan dan anak mereka Norhisham Yaakub, 20-an, yang melecur di kaki, manakala terdapat cucu pasangan itu, iaitu kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sempat menyelamatkan diri.

"Difahamkan, rumah itu didiami tujuh penghuni, namun tiga anak lelaki mangsa tiada di rumah semasa kejadian kerana keluar bekerja," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan dua lagi mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Mohamad Shoki berkata kebakaran itu turut memusnahkan empat motosikal yang berada di rumah tersebut, iaitu Honda EX5, Yamaha Lagenda, Yamaha RXZ dan Honda RS.

Katanya, kebakaran rumah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.46 petang sebelum kerja-kerja pemeriksaan lanjut (overhaul) dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.31 malam.

"Operasi melibatkan 23 anggota bomba bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bertam dan Butterworth dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS)," katanya.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan oleh pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) dan unit pengesan khidmat unit anjing pengesan (K9) turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian kebakaran itu bagi mengetahui punca sebenar atau terdapat unsur jenayah atau sebaliknya," katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah berhampiran kedai nasi ayam berempah di Kampung Guar Kepayang di sini, hari ini.

Mohamad Shoki dilaporkan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.59 petang sebelum jentera pertama dari BBP Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian dan mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik di rumah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan