KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Penasihat bebas IJM Corporation Bhd berkata tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah sekali gus mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IJM berkata penasihat yang dilantik, M&A Securities Sdn Bhd berkata harga tawaran itu adalah pada diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33, iaitu kira-kira 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding anggaran nilai saham IJM dalam lingkungan RM5.84 hingga RM6.48.
“Lembaga pengarah bersetuju dengan kesimpulan dan syor oleh M&A Securities bahawa tawaran itu adalah tidak adil dan tidak munasabah.
“Sehubungan itu, lembaga pengarah sebulat suara mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran berkenaan,” kata syarikat itu.
Tawaran itu akan terus dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, 6 April 2026.
Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Sementara itu, IJM dalam kenyataan berasingan berkata lembaga pengarahnya telah melantik Rothschild & Co Malaysia Sdn Bhd (Rothschild & Co) sebagai penasihat kewangan kepada lembaga pengarah bagi melaksanakan latihan penilaian sebagai sebahagian daripada penilaian dalaman syarikat.
Rothschild & Co menaksir nilai ekuiti indikatif IJM antara RM16.81 bilion hingga RM19.72 bilion, bersamaan RM4.80 hingga RM5.63 sesaham, katanya.
IJM berkata pekeliling nasihat bebas (IAC) pula menaksir nilai saksama saham IJM dalam julat RM5.84 hingga RM6.48 sesaham.
Menurutnya, berdasarkan struktur tawaran dan selepas mengambil kira pengagihan khas saham Sunway Healthcare kepada pemegang saham Sunway berhubung tawaran awam permulaan (IPO) Sunway, pertimbangan tersirat kepada pemegang saham IJM adalah RM3.08 sesaham, yang menawarkan harga lebih rendah antara 47.6 peratus hingga 52.7 peratus berbanding julat penilaian yang ditentukan penasihat bebas.
“Walaupun cadangan lembaga pengarah IJM berpandukan kepada pendapat penasihat bebas, lembaga pengarah turut mengambil maklum bahawa penilaian bebas oleh Rothschild & Co, yang dijadikan rujukan kedua, menunjukkan nilai yang jauh lebih tinggi daripada harga tawaran RM3.15 sesaham,” kata IJM.
Menurutnya IAC menekankan bahawa perbezaan penilaian perlu dilihat dalam konteks kitaran pelaburan semasa.
“Kumpulan itu kini berada pada tahap perubahan penting, dengan beberapa aset utamanya beralih daripada fasa pembangunan kepada fasa operasi.
“Ini termasuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang dijadualkan siap tahun ini; sambungan Lebuhraya Baru Pantai yang disasarkan siap pada 2029; dan pembangunan utama United Kingdom seperti 88 Royal Mint Street dan 25 Finsbury Circus (yang) masih dalam pembinaan,” kata IJM.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan IJM Datuk Lee Chun Fai berkata banyak aset utama IJM kini beralih daripada fasa pelaburan kepada fasa operasi, dan apabila projek-projek ini dimulakan, sumbangan pendapatannya akan dapat dilihat dengan lebih jelas.
“Menerima tawaran pada peringkat ini bermakna menjual pegangan saham sebelum aset-aset ini direalisasikan sepenuhnya. Tumpuan kami kekal kepada pelaksanaan strategi dan memberikan nilai kepada portfolio yang sedang kami bina,” katanya.
Pada masa ini, kumpulan itu sedang melaksanakan projek berkaitan pusat data bernilai lebih RM3.5 bilion termasuk projek bernilai RM2.1 bilion di Elmina Business Park dan kemudahan cepat siap bernilai RM1.4 bilion di Johor.
Lee berkata kumpulan itu bercadang untuk meneruskan strategi menjana kewangan berasaskan prinsip yang lebih aktif bagi memanfaatkan nilai daripada pelaburan ini dan membantu merapatkan jurang penilaian yang ditekankan dalam IAC.
“Dengan pengalaman luas dalam memajukan infrastruktur nasional dan pembangunan ekonomi, mengekalkan pemilikan aset ini membolehkan pemegang saham menikmati nilai yang dijangka dijana apabila aset-aset ini beroperasi sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial