Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Ketika desas-desus mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan lebih awal semakin kuat kedengaran, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pula berkata perkara itu bukan keutamaannya buat masa ini.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk terus berkhidmat dan menabur bakti membela nasib rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu menjelaskan ini kerana penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan berakhir pada April 2027.
“Saya masih ada lebih setahun tempoh matang. Jadi gerak kerja saya adalah untuk terus berkhidmat membela nasib rakyat. Kita tidak buat kerja sebab pilihan raya tetapi kita buat kerja kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat.
"Jadi keutamaannya adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Selagi kita masih menjadi kerajaan, itu akan sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor baru-baru ini.
Spekulasi tentang kemungkinan PRN Johor dilaksanakan pada tahun ini semakin kuat kedengaran, terutamanya selepas beberapa parti politik mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding di beberapa kerusi.
Baru-baru ini, PKR dan Amanah masing-masing mengumumkan telah mengenal pasti 28 dan 20 kerusi untuk ditandingi oleh calonnya pada PRN akan datang.
Selain itu, Pakatan Harapan (PH) Johor turut menubuhkan empat jawatankuasa strategik, termasuk Johor MADANI, Jawatankuasa Agihan Kerusi, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi serta Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan.
Sebelum ini Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata parti itu masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai bentuk kerjasama atau pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN akan datang.
Beliau juga yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, tiada rundingan rasmi dibuat sama ada pada peringkat negeri mahupun pusat berkaitan perkara itu setakat ini.
Pada PRN Johor lepas, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan manakala PH memenangi (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).
Onn Hafiz menang di kerusi Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada PN dan R Sangaran daripada MUDA serta Datuk Dr Sharuddin Md Salleh yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial