AM

KPDN Siasat Setiap Aduan, Penyelewengan RON95 Dalam Tempoh 24 Jam

13/03/2026 10:19 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan setiap aduan berkaitan harga, bekalan serta penyelewengan barangan kawalan termasuk subsidi petrol RON95 akan disiasat dalam tempoh 24 jam selepas diterima.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata komitmen itu bagi memastikan setiap isu yang memberi kesan kepada pengguna dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.

Katanya KPDN menerima 46,815 aduan pada 2024 manakala lebih 46,200 aduan direkodkan pada tahun lepas. 

“Jumlah (aduan) ini sebenarnya tinggi. Komitmen kami khususnya isu-isu berkaitan dengan harga, bekalan dan penyelewengan, kami akan siasat dalam masa 24 jam,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Azman berkata bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan, orang ramai digesa menyalurkan maklumat yang tepat dan lengkap kepada pihak kementerian.

Beliau berkata maklumat yang jelas termasuk lokasi kejadian dan bentuk kesalahan akan membantu pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan dengan lebih cepat dan berkesan.

“KPDN mengamalkan perlindungan kepada pihak-pihak yang memberikan maklumat tersebut. 

“Jadi kami akan menyiasat setiap aduan tersebut secara profesional dan pengguna ataupun pengadu tidak perlu takut kerana semua data tersebut akan dirahsiakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu kes di media sosial sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tindakan itu boleh menjejaskan proses siasatan.

“Dalam beberapa kes membuktikan tindakan menularkan maklumat terlalu awal boleh menyebabkan pihak yang terlibat memadamkan bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum siasatan dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai saluran yang disediakan oleh KPDN untuk menyalurkan maklumat termasuk talian WhatsApp iaitu 019-8488000.

Aduan juga boleh dibuat melalui portal e-Aduan KPDN, iaitu http:eaduan.kpdn.gov.my; hotline 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu kerajaan membanteras penyelewengan barangan kawalan serta memastikan subsidi yang disediakan benar-benar dinikmati oleh rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan