Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan ketegangan yang meningkat di Asia Barat menjejaskan kesediaan pelabur untuk mengambil risiko, kata ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa sentimen pasaran terus berhati-hati, dengan pelabur mengambil pendekatan mengelak risiko dan memilih menyimpan tunai.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 3.9275/9400 berbanding dolar AS daripada 3.9240/9280 semasa ditutup pada Khamis.
Harga minyak mentah Brent melonjak 9.86 peratus kepada US$101.05 setong berikutan perang AS-Iran terus mendominasi laporan media manakala Presiden AS Donald Trump berikrar untuk menjatuhkan rejim Iran, menyatakan kenaikan harga minyak adalah perkara kedua baginya.
Sementara itu, pemimpin tertinggi baharu Iran Mojtaba Khamenei berhasrat untuk menutup Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada strategi perang negara itu.
“Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai pasaran kredit swasta berikutan peningkatan pengeluaran pelaburan dalam kalangan pelabur manakala hasil Perbendaharaan AS meningkat berikutan kebimbangan mengenai defisit fiskal tinggi susulan kos perang yang melonjak.
“Secara ringkasnya, sentimen mengelak risiko telah meluas dan menyimpan tunai mungkin merupakan langkah terbaik kepada pengurus dana,” katanya.
Beliau berkata ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS akan bersidang semula minggu depan untuk memutuskan Kadar Dana Persekutuan yang ditetapkan oleh Sistem Rizab Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya pasaran akan memantau kenyataan mereka untuk hala tuju pasaran.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4666/4746 daripada 2.4720/4746 pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.2436/2603 daripada 5.2554/2608 dan tinggi berbanding euro kepada 4.5249/5393 daripada 4.5361/5408.
Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN, bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 232.5/233.3 daripada 232.2/232.6 sebelum ini.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2090/2554 daripada 12.3257/3452, naik berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.64 daripada 6.60/6.62 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0715/0817 daripada 3.0786/0820 pada Khamis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial