AM

Lebih 4,000 Keluarga Terima Sumbangan Yayasan Petronas Sempena Aidilfitri

12/03/2026 09:59 PM

KOTA BHARU, 12 Mac (Bernama) -- Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan hampir RM1 juta kepada 4,850 keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara menerusi program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2026, bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata sumbangan itu melibatkan penerima dari 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata di Kelantan, 400 keluarga berpendapatan rendah dari  Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok dipilih menerima bantuan berupa barangan makanan asas serta hamper kuih raya.

“Program yang diadakan saban tahun ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya ketika berucap pada Program Yayasan Petronas: Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2026 di sini hari ini.

Mohammad Ahmad Shazly berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha yayasan berkenaan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata Yayasan Petronas melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan di bawah tiga teras utama iaitu Memacu Kehidupan, Memperkasakan Ilmu dan Menyemai Masa Hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas kerjasama memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Program berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Kelantan Datuk Rohani Ibrahim, yang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Mohammad Ahmad Shazly berkata program tersebut diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan serta membawa keceriaan kepada penerima dalam menyambut Aidilfitri. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan