PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Isu membabitkan Universiti Malaya (UM) dan sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo universiti itu perlu ditangani melalui pendekatan yang lebih konstruktif dan berhemah.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata isu berkaitan penggunaan identiti atau logo universiti itu yang sekiranya menimbulkan kekeliruan atau pelanggaran prosedur wajar diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan antara pihak universiti dan pelajar.
“Saya mengikuti perkembangan terkini yang melibatkan isu surat tuntutan (LOD) yang dihantar oleh UM kepada sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo UM.
“Pendekatan dialog dan rundingan adalah lebih selari dengan semangat ekosistem universiti yang berteraskan keterbukaan, pendidikan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata perkara sebegini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.
“Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa persatuan atau gerakan pelajar yang aktif sama ada berdaftar secara rasmi dengan universiti ataupun tidak, perlu sentiasa menghormati peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti.
“Ia khususnya dalam hal yang melibatkan penggunaan nama, logo dan identiti institusi,” katanya.
Sekiranya terdapat persatuan yang tidak berdaftar, beliau berkata pihak universiti juga boleh mengambil pendekatan yang lebih mendidik dengan memanggil serta memberikan panduan yang sewajarnya kepada mereka.
“Saya berharap pihak UM akan mengambil langkah yang lebih proaktif dan konsultatif dalam menangani isu ini manakala pihak pelajar pula diharapkan dapat mendekati perkara ini dengan sikap terbuka serta semangat untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menggalakkan budaya dialog, persefahaman dan saling menghormati dalam ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
Portal berita tempatan melaporkan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM) mendakwa mengalami intimidasi selepas menerima notis undang-undang yang menuntut mereka menghentikan penggunaan nama universiti itu, memandangkan kumpulan itu masih belum didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial