KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Subsidiari milik penuh MN Holdings Bhd, MN Utilities Engineering Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LoA) membabitkan projek bernilai RM216 juta yang akan menyaksikan pembangunan pencawang pengguna untuk sebuah pusat data di selatan Semenanjung Malaysia.
Syarikat perkhidmatan pembinaan dan penyelesaian infrastruktur utiliti itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata LoA bertarikh 1 Feb 2026 itu telah diberikan oleh pelanggan yang menyediakan infrastruktur untuk pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan.
Identiti pelanggan tidak dapat didedahkan disebabkan perjanjian yang mengikat perkara itu.
Di bawah kontrak, skop kerja termasuk reka bentuk, pembinaan, pemasangan, ujian dan pentauliahan pencawang pengguna (Plot 2).
Ini juga merangkumi pembekalan buruh, peralatan dan bahan untuk kerja-kerja pembinaan di dalam sempadan tapak, serta penyambungan kabel voltan tinggi antara tapak pencawang masing-masing.
Kontrak dijadualkan bermula pada 1 Feb 2026 dan dijangka siap menjelang 30 Sept 2026.
LoA itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan syarikat dan pegangan saham pemegang saham terbesarnya.
Namun, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan aset bersih sesaham apabila dimulakan.
Syarikat itu juga berkata selain daripada risiko operasi biasa, ia tidak mengetahui sebarang faktor risiko lain yang timbul daripada LoA berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial