KLUANG, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini, awal bulan ini.
Ei Jean Yee, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh Ng Moy Koew, 48, pada 9.31 malam 4 Mac lepas di sebuah rumah di Taman Muhibbah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes, serahan laporan perubatan dan kimia serta mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani pemeriksaan mental.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial