AM

Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Terima Sumbangan Tambahan RM10.35 Juta

11/03/2026 05:38 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diuruskan Kementerian Luar menerima tambahan sumbangan RM10.35 juta daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan korporat, menjadikan jumlah keseluruhan dana terkumpul sebanyak RM113 juta.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM86 juta telah dibelanjakan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sebarang potongan kos operasi.

“Jumlah keseluruhan RM113 juta dan kita telah belanjakan sebanyak RM86 juta. Hari ini kita dapat lagi RM10.35 juta dan kita akan menguruskan tabung ini secara berhemat.

"Tabung ini diurus dengan baik, ada jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, kita audit dan kita buat laporan berkala ke Kabinet berkenaan dengan prestasi AAKRP ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP di sini hari ini.

Beliau berkata antara penyumbang terbaharu ialah Tenaga Nasional Berhad, Media Prima Bhd, Telekom Malaysia, Berjaya Corporation, Kuala Lumpur Kepong dan Pelaburan Hartanah Berhad.

Mohamad berkata dana berkenaan disalurkan kepada pelbagai organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam bantuan kemanusiaan di Palestin antaranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah serta NGO Malaysia di bawah inisiatif Ops Ihsan.

Beliau berkata baru-baru ini kerajaan turut meluluskan peruntukan RM9.6 juta kepada Ops Ihsan untuk disalurkan kepada pelbagai NGO bagi melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan, termasuk yang mempunyai operasi di Gaza.

Katanya AAKRP sentiasa dibuka bagi menerima sumbangan orang ramai dan penderma boleh menyalurkan sumbangan secara terus melalui akaun yang dipaparkan di laman web kementerian.

Mohamad berkata Malaysia akan terus menyuarakan pendirian berprinsip negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa termasuk memperjuangkan penyelesaian dua negara bagi memastikan rakyat Palestin memperoleh negara dan kerajaan mereka sendiri serta mengutuk jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.

"Insya-Allah, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian di peringkat antarabangsa.  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri amat lantang menyuarakan pendirian Malaysia, pendirian yang berprinsip," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan