AM

Harga RON95 Kekal RM1.99 Seliter, Bekalan Minyak Negara Cukup Sehingga Mei Ini - PM

11/03/2026 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain... sebab itu, saya selalu tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan yang cekap serta amanah dan profesional... kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

“… sebab itu, saya telah maklumkan kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan harga BUDI95 untuk rakyat... ini keputusan yang sukar tetapi akan dikekalkan RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi dan harga sebenar jauh lebih tinggi... apa lagi kalau dibandingkan dengan harga di negara-negara jiran, tiga kali ganda,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media khas perkembangan mutakhir konflik di Asia Barat hari ini.

Anwar berkata susulan konflik di Asia Barat serta gangguan bekalan minyak dari Selat Hormuz, dianggarkan lebih 400 kapal tangki telah terkandas dan harga minyak Brent mencecah USD119 bagi setiap tong pada 9 Mac lepas.

“Walaupun harga minyak kini di bawah paras USD90, ia masih tidak menentu dan menyebabkan peningkatan harga pasaran minyak petrol dan diesel yang mendadak,” katanya.

Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, Perdana Menteri berkata beliau telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Anwar berkata beliau memahami kerisauan rakyat dan memberi jaminan bahawa situasi masih terkawal.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.

“Sepertimana yang kita tahu, kita telah lalui ujian dan kemelut sebelum ini dan saya yakin, insya-Allah sikap lebih bertanggungjawab dengan kerjasama semua pihak, pimpinan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat jelata kita dapat menangani permasalahan ini dengan baik.

“Semoga Allah SWT merestui usaha kita dan memelihara negara kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan