SHAH ALAM, 10 Mac (Bernama) -- Invest Selangor Bhd menyasarkan untuk melepasi nilai potensi transaksi perniagaan sebanyak RM8.17 bilion tahun lalu semasa Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, yang akan diadakan pada Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata sehubungan itu, edisi ke-10 SIBS akan memperkenalkan tiga tonggak baharu yang direka khusus untuk memperkukuh ekosistem pelaburan pelbagai sektor di negeri itu.
“Tonggak pertama ialah Sidang Kemuncak Selangor Techsphere yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dengan kerjasama Hannover Fairs Asia Pacific (anak syarikat Deutsche Messe AG yang terkenal di seluruh dunia), bagi menumpukan kepada bakat teknikal dan inovasi perindustrian.
“Tonggak kedua ialah Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor Selangor yang dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC). Tonggak ketiga pula ialah Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor yang dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS),” katanya selepas melancarkan pelan hala tuju untuk SIBS 2026 di sini hari ini.
Ng berkata tonggak berkenaan akan menyertai program sedia ada iaitu Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) dan Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK).
“Pada tahun ini, SIBS turut memperkenalkan Forum Pelaburan Selangor, iaitu seminar peringkat tertinggi yang memberi tumpuan kepada industri utama dan Ekspo Bakat Yang Menghubungkan Kerjaya Selangor, iaitu karnival kerjaya khusus dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi merapatkan jurang bakat untuk pelaburan yang diluluskan di Selangor,” katanya.
Beliau menambah sejak diperkenalkan pada 2015, SIBS — yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) — menyaksikan nilai potensi transaksinya melonjak daripada kira-kira RM200 juta pada tahun-tahun awal kepada RM13.85 bilion pada 2024.
Beliau berkata sidang kemuncak itu juga telah bertindak sebagai pemudah cara nilai potensi transaksi terkumpul sebanyak RM30.56 bilion setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin ekonomi utama Malaysia.
“Selain perdagangan, SIBS mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat utama untuk kepimpinan pemikiran. Setakat ini, sidang kemuncak itu telah menampilkan lebih 1,081 penceramah dan menerima kehadiran lebih 23,000 peserta persidangan, sekali gus memudah cara wacana peringkat tinggi mengenai landskap ekonomi ASEAN yang berkembang,” katanya.
SIBS 2026 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di samping melakar trajektori serantau baharu melalui pengenalan SIBS@ASEAN Edisi Bandung yang akan diadakan pada 9 hingga 10 Julai.
Beliau berkata Edisi Bandung, Indonesia, dipilih secara strategik sebagai destinasi sulung berikutan persamaan ekonominya yang ketara dengan Selangor, memandangkan kedua-dua wilayah berperanan sebagai hab perindustrian utama dan pusat inovasi bagi negeri masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari berkata SIBS@ASEAN menandakan lembaran baharu dalam usaha menempatkan semula Selangor sebagai penghubung serantau.
“Kami menjangka untuk membawa kira-kira 50 syarikat berpangkalan di Selangor ke Edisi Bandung pada Julai 2026. Memandangkan ciri-ciri ekonomi yang sama antara Selangor dan Jawa Barat, inisiatif ini akan membantu memastikan perniagaan tempatan kekal berdaya saing dan relevan di peringkat global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial