EKONOMI

Unit West River Peroleh 95 Peratus Kepentingan Dalam Ace Hydropower

10/03/2026 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung West River Bhd, iaitu Neutron Power Sdn Bhd memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) untuk memperoleh 95 peratus kepentingan ekuiti dalam Ace Hydropower Sdn Bhd dengan harga tunai RM850,000. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia penyelesaian kejuruteraan elektrik dan bangunan pintar itu berkata apabila pengambilalihan yang dicadangkan selesai, Ace Hydropower akan menjadi anak syarikat 95 peratus milik tidak langsung WRB. 

“Perjanjian ini adalah susulan pengumuman kumpulan itu sebelum ini iaitu pada 17 September 2025, mengenai cadangan pengambilalihan itu.

“Walaupun terma-terma utama sebahagian besarnya kekal konsisten dengan lembaran terma yang diumumkan sebelum ini, bilangan saham yang akan diambil alih telah disemak semula. 

“Pelarasan ini dibuat selepas West River berjaya memenuhi garis masa projek yang dipersetujui, bagi membolehkan syarikat memperoleh saham tambahan daripada vendor dengan pertimbangan yang dipersetujui bersama,” katanya. 

West River berkata cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk penemuan usaha wajar yang memuaskan dan kesahan berterusan semua lesen serta permit berkaitan yang diperlukan untuk projek kuasa hidro dan operasi Ace Hydropower.

“Syarat-syarat lain termasuk mendapatkan sebarang kelulusan yang diperlukan daripada pembiaya, kelulusan korporat daripada pihak yang terlibat, dan sebarang persetujuan kawal selia atau pihak ketiga yang berkaitan,” katanya. 

Menurut West River, jualan akan diselesaikan sebaik sahaja kesemua syarat itu dipenuhi atau dikecualikan, dengan syarat tiada perubahan serius yang ketara terhadap kedudukan kewangan atau operasi dan tiada tindakan undang-undang atau kawal selia yang menghalang transaksi tersebut.

Pengarah Urusan West River Lim Yong Lai berkata pengambilalihan itu menandakan satu langkah kumpulan ke arah strategi pertumbuhan yang lebih mesra alam. 

“Kuasa hidro adalah sumber tenaga boleh baharu yang sudah terbukti dan boleh dipercayai, dan Projek Kuasa Hidro Kinta akan menjana aliran tunai jangka panjang yang stabil, selain meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.  

Lim berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjana pulangan yang mampan untuk pelabur sambil menyokong sasaran pengurangan karbon Malaysia dan menyumbang kepada komuniti tempatan di Perak. 

“Selain pulangan komersial, projek ini mencerminkan tanggungjawab kami untuk menyumbang kepada cita-cita sifar bersih Malaysia, dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pengawal selia serta komuniti tempatan bagi memastikan masa depan tenaga yang mampan dan inklusif,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan