ALOR SETAR, 9 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan “Geng Lobo” yang disyaki aktif mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di beberapa negeri sejak pertengahan tahun lepas dengan penahanan lima lelaki di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 9 Feb lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata kesemua yang berusia 30 hingga 62 tahun itu terdiri daripada ketua kumpulan terbabit dikenali panggilan “Lobo” bersama empat rakannya yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tasik Gelugor.
“Modus operandi kumpulan itu ialah menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan kedudukan kabel sebelum mencuri menggunakan peralatan khas.
“Mereka dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kumpulan itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi menarik keluar kabel dari dalam lurang sebelum menjual hasil curi di sebuah premis barangan lusuh di Sungai Petani.
Syed Basri berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak bekerja dan menagih dadah jenis syabu, manakala lelaki berusia 62 tahun itu dipercayai bertindak sebagai pembeli kabel curi daripada kumpulan berkenaan.
Beliau berkata kumpulan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 27 kes jenayah iaitu lapan kes di Kedah; Pulau Pinang (enam); Perak, Johor dan Negeri Sembilan masing-masing tiga, Melaka (dua) manakala Perlis dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.
Daripada jumlah itu, 25 kes melibatkan kecurian kabel manakala masing-masing satu kes berkaitan kecurian komponen kenderaan dan kes menghalang penjawat awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.
Syed Basri berkata dalam operasi lain, pihaknya menahan enam lelaki “Geng Man Che Lah” berusia 25 hingga 35 tahun yang disyaki aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Kota Setar, dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Orkid, Simpang Empat dekat sini, kira-kira 2 pagi semalam.
Beliau berkata kumpulan itu disyaki terlibat dalam lapan kes jenayah iaitu tujuh kes kecurian kabel dan satu kes pecah rumah serta kecurian kenderaan dalam daerah ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial