JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan Aktivis Cabar Kebenaran Rancang Pembinaan PDF Ditolak

09/03/2026 07:30 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang aktivis bagi mencabar kebenaran merancang yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Gebeng, Pahang.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, yang bersidang bersama-sama Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Ong Chee Kwan, memerintahkan Tan Bun Teet membayar kos perundangan sebanyak RM25,000 kepada setiap responden, iaitu Jawatankuasa Perancang Negeri Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Gading Senggara Sdn Bhd dan Lynas Malaysia.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Ong berkata Tan gagal memfailkan semakan kehakiman dalam tempoh yang dikehendaki di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau berkata peruntukan itu menetapkan bahawa permohonan semakan kehakiman hendaklah difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh alasan permohonan pertama kali dibangkitkan atau ketika keputusan pertama kali dimaklumkan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tan telah memfailkan permohonan itu melepasi tempoh tiga bulan yang dibenarkan.

Hakim itu juga berkata mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Gading Senggara bahawa kebenaran merancang tersebut mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035.

“Pada peringkat ini, kemudahan PDF telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya manakala pematuhan dari segi keselamatan, alam sekitar dan radiologi telah disahkan tanpa sebarang cabaran statutori lanjut”, katanya. 

Pada 30 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman Tan bagi mencabar kebenaran yang diberikan kepada Lynas Malaysia untuk membina PDF.

Tan telah memfailkan permohonan itu untuk mencabar kebenaran MBK bagi pembinaan PDF untuk melupuskan sisa radioaktif dengan menamakan Jawatankuasa Perancang Negeri Pahang, MBK, Gading Senggara Sdn Bhd dan Lynas Malaysia sebagai responden.

Dalam tuntutan itu, Tan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa kebenaran merancang yang diberikan oleh MBK kepada Gading Senggara dilakukan tanpa mematuhi peruntukan mandatori Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, menjadikan kebenaran merancang itu terbatal.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas itu turut memohon mahkamah membatalkan kebenaran merancang untuk pembinaan PDF berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan