AM

Bekalan Keperluan Asas Di N. Sembilan Mencukupi Menjelang Aidilfitri

09/03/2026 03:24 PM

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Bekalan barangan keperluan di Negeri Sembilan mencukupi menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, termasuk melalui inisiatif kerajaan negeri menyediakan jualan daging lembu bersubsidi bersempena program Mantai Perdana Rabu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata setakat ini tiada sebarang isu berkaitan bekalan bahan mentah utama seperti daging lembu, ayam, santan kelapa dan telur.

"Orang ramai tidak perlu risau keperluan sempena Aidilfitri di negeri ini, semuanya mencukupi, barangan lain seperti kelapa juga masih banyak.

"Malah sempena Mantai Perdana nanti, 18,000 kilogram (kg) daging lembu bersubsidi dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran, orang ramai boleh membeli di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan setiap DUN akan diberi 500 kg daging subsidi ini," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, pemilik kebun kelapa, Amir Mohamad, 56, berkata bekalan buah itu mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Negeri Sembilan sepanjang musim perayaan ini.

“Setakat ini permintaan hampir sama seperti tahun lepas. Saya sendiri menerima lebih 1,000 tempahan sepanjang Ramadan hingga hari raya dan bekalan masih mencukupi. Alhamdulillah, pokok kelapa di kebun saya berbuah dengan baik kali ini,” katanya.

Beliau berkata kelapa tua dijual pada harga RM2.50 sebiji manakala kelapa muda antara RM2 hingga RM2.80 sebiji mengikut saiz serta para peniaga yang memerlukan bekalan kelapa masih boleh mendapatkan stok di kebunnya di Ulu Sepri, Rembau.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan