KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Prestasi ekonomi Malaysia tahun lepas yang merekodkan pertumbuhan 5.2 peratus, dijangka menjadi penampan negara daripada ketidaktentuan ekonomi global dan mengukuhkan prestasi pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kesan konflik Timur Tengah membawa implikasi global berikutan harga tenaga mempengaruhi inflasi dan kos pinjaman.
“Bagaimanapun, bagi Malaysia, kerajaan sedang menguruskan keadaan itu dan memantau rapi perkembangan di Timur Tengah.
“Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih meletakkan negara dalam kedudukan yang baik walaupun harga minyak melonjak melebihi US$100 setong hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN Kedua bertemakan “Mengemudi Perbankan dalam Era GeoEkonomi Baharu: Memperkukuh Kepercayaan, Teknologi, Bakat, Transformasi.”
Harga minyak global telah meningkat dengan ketara selepas ketegangan di Timur Tengah memuncak sejak minggu lepas, dengan minyak mentah Brent kini diniagakan pada US$115.4 setong berbanding kira-kira US$70 setong minggu lepas.
"Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, melebihi unjuran kami. Permintaan domestik kekal berdaya tahan dan pelaburan melonjak, didorong oleh projek infrastruktur berbilang tahun," katanya.
Beliau berkata defisit fiskal negara semakin mengecil ke arah sasaran tiga peratus di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal manakala ringgit semakin mengukuh.
Mengenai harga petrol RON95, Amir Hamzah berkata kerajaan akan cuba mengekalkan harga bersubsidi pada RM1.99 seliter untuk tempoh dua bulan akan datang.
“Ini kerana kita mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, bagi pasaran terbuka, harga minyak semasa (global) akan disalurkan terus kepada harga di pasaran tempatan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada peningkatan bil subsidi akan diimbangi oleh pertambahan hasil petroleum, dan dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan meningkat susulan kenaikan harga minyak, Amir Hamzah berkata masih terlalu awal untuk menentukannya.
“Perkara ini masih di peringkat awal, tetapi apa yang penting adalah memastikan kita menjamin bekalan yang stabil,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak di negara ini kekal stabil dan gangguan bekalan tidak akan berlaku.
Terdahulu dalam ucaptama beliau, Amir Hamzah berkata konflik geopolitik yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran telah berubah daripada krisis yang terkawal kepada konflik serantau yang membawa kesan global.
Menurutnya serangan balas di sekitar Teluk menandakan ketidakstabilan yang semakin meningkat, dengan impak segera terhadap sektor kewangan dan ekonomi global secara keseluruhan.
“Harga tenaga memberi kesan secara langsung kepada inflasi, kos pinjaman dan pengiraan risiko kredit oleh bank setiap hari.
"Gangguan rantaian bekalan turut menjejaskan peminjam yang dibiayai oleh bank," katanya.
Amir Hamzah berkata ketidakstabilan geopolitik juga boleh membentuk semula minat syarikat multinasional untuk melabur di negara-negara yang sedang berusaha menarik pelaburan, termasuk Malaysia.
"Apabila laluan tenaga menghadapi ancaman dan koridor perdagangan menjadi kawasan pertikaian, semua ekonomi di ASEAN merasakan kesannya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial