FOKUS BERNAMA

Ruang Kerja Bersama Mentakrif Semula Tempat Bekerja

10/03/2026 10:22 AM
Daripada Soon Li Wei

Ruang kerja bersama yang sebelum ini lebih popular dalam kalangan mereka yang bekerja secara bebas dan syarikat pemula niaga, kini kian menjadi pilihan bagi golongan profesional di negara ini.

Daripada perantau digital dan pereka bebas hingga pemilik perniagaan kecil dan usahawan, ruang kerja fleksibel ini semakin mendapat tempat seiring evolusi corak kerja pascapandemik.

Pandemik COVID-19 pada 2020 telah mengubah secara ketara budaya tempat kerja, mempercepatkan peralihan kepada pengaturan kerja secara hibrid dan anjal.

Susulan itu, semakin ramai rakyat Malaysia kini mencari fleksibiliti lebih besar dalam pengaturan kerja, termasuk dari segi cara dan lokasi bekerja, mengimbangi struktur serta kemudahan pejabat dengan kebebasan bekerja dari jarak jauh, di samping mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih sihat.

Pada masa sama, peningkatan kadar sewa dan harga hartanah serta cabaran mendapatkan lokasi perniagaan yang strategik mendorong banyak syarikat pemula niaga dan perniagaan kecil melihat semula model pejabat tradisional.

Berbanding terikat dengan sewaan mahal di kawasan komersial utama, banyak perniagaan kini memilih ruang kerja bersama yang menyediakan kemudahan asas seperti meja, kerusi ergonomik, Internet berkelajuan tinggi dan kemudahan bersama termasuk ruang pantri.

Bagi peniagaan kecil, model ini juga menawarkan kadar sewa yang fleksibel, membolehkan mereka menyewa suite pejabat tanpa komitmen modal besar di peringkat awal.


Kadar sewa berpatutan serta kemudahan yang disediakan oleh ruang kerja bersama memudahkan urusan seharian pengguna, sekaligus menjimatkan perbelanjaan. (Gambar Ihsan WORQ)

 

CEKAP KOS, JADI RUANG BINA JARINGAN KERJAYA 

Bagi pemilik perniagaan Shawn Lawrence Lee, ruang kerja bersama merupakan alternatif praktikal berbanding susun atur pejabat konvensional kerana lebih mudah dan menjimatkan kos, terutama bagi pasukannya yang mempunyai kurang daripada 10 orang.

“Saya tidak perlu menyewa pejabat tetap di pusat bandar yang kos sewanya tinggi. Kebanyakan ruang kerja bersama juga terletak berhampiran hab pengangkutan awam, sekali gus memudahkan kami berulang-alik dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Ruang kerja bersama juga membuka peluang untuk berkenalan dengan individu daripada pelbagai industri, justeru sentiasa ada potensi untuk kerjasama dan perkongsian perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pereka bebas Bernice Chan berkata bekerja dalam persekitaran yang berbeza dapat merangsang kreativiti, iaitu aspek yang amat penting dalam industri kreatif.

Berpendapat ada kalanya berada terlalu lama di ruang kerja mengehadkan inspirasi, wanita ini lebih gemar suasana baharu yang dapat mencetuskan idea bagi karya seninya.

“Mereka yang berada dalam industri kreatif memerlukan persekitaran baharu untuk merangsang kreativiti. Ruang kerja bersama dengan lokasi dan susun atur berbeza mampu meningkatkan produktiviti selain membantu menenangkan fikiran, di samping menawarkan waktu kerja yang fleksibel,” katanya.


Ruang kerja bersama juga membuka peluang untuk berkenalan dengan individu daripada pelbagai industri (Gambar Ihsan WORQ)

 

KERJA SECARA HIBRID PACU PERMINTAAN 

Peralihan yang kian ketara ke arah pengaturan kerja secara hibrid dan anjal turut meningkatkan permintaan terhadap ruang kerja bersama yang mudah diakses serta lengkap kemudahan di pusat-pusat bandar, dengan kajian Cisco pada 2024 mendapati 60 peratus pekerja di Malaysia percaya pengaturan kerja secara hibrid dapat meningkatkan kualiti kerja mereka.

Malah, syarikat korporat juga mula meneroka alternatif  bagi ruang pejabat tradisional.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Infinity8 Lee Sheah Liang berkata kebanyakan syarikat kini mengutamakan fleksibiliti, pasukan lebih kecil dan tempoh sewaan lebih singkat.

“Berbanding terikat dengan sewaan tradisional jangka panjang, perniagaan kini lebih cenderung kepada ruang kerja yang dapat disesuaikan, membolehkan mereka berkembang atau mengecilkan operasi dengan cepat.

“Pandemik juga mempercepatkan permintaan terhadap ruang kerja bersama apabila firma mula mengamalkan model kerja jarak jauh dan hibrid,” katanya kepada Bernama.


Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Infinity8, Lee Sheah Liang. (Gambar Ihsan Infinity8)

Infinity8 kini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 20 syarikat Fortune 500, merangkumi syarikat pemula niaga, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat multinasional, dan mengendalikan 14 cawangan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Lee berkata walaupun bekerja dari rumah menawarkan kemudahan, pendekatan itu juga mempunyai kekangan seperti rasa terasing, gangguan serta sempadan yang kabur antara kehidupan peribadi dan profesional.

“Ruang kerja bersama menyediakan struktur, produktiviti dan infrastruktur profesional seperti bilik mesyuarat, Wi-Fi berkelajuan tinggi, perkhidmatan sokongan perniagaan serta alamat perniagaan profesional - semuanya tanpa komitmen jangka panjang.

“Lebih penting, pendekatan ini mewujudkan tenaga dan interaksi manusia dengan menghimpunkan pelbagai industri di bawah satu bumbung serta membuka peluang yang jarang berlaku jika bekerja secara bersendirian,” katanya.

 

TUMPUAN PADA KESEJAHTERAAN DI TEMPAT KERJA

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif penyedia ruang kerja fleksibel tempatan WORQ, Stephanie Ping, berkata bahawa apabila pengaturan kerja secara anjal semakin menjadi norma dalam landskap korporat Malaysia serta kemasukan generasi muda ke dalam tenaga kerja, konsep pejabat kini dinilai semula secara menyeluruh.

Menurutnya, pejabat tradisional sebelum ini sering dikaitkan dengan jadual kerja tetap dari  9 pagi hingga 5 petang, namun kini berkembang kepada model yang lebih berorientasikan manusia dengan memberi penekanan kepada fleksibiliti, produktiviti dan pengalaman pekerja secara keseluruhan.

Kualiti ruang kerja juga semakin penting. Internet berkelajuan tinggi, kerusi ergonomik, ruang fokus yang tenang, ruang santai kolaboratif, ruang acara, bilik mesyuarat serta bilik panggilan kini bukan lagi kemudahan tambahan, sebaliknya sudah menjadi keperluan asas, khususnya dalam persekitaran ruang kerja bersama.

“Selain kemampuan memilih ruang yang sesuai, ciri-ciri tersedia juga  menjadi faktor penentu sama ada seseorang mahu bekerja di situ ataupun tidak.

“Baik untuk sesi kerja individu yang memerlukan tumpuan ataupun perbincangan kumpulan yang dinamik, kemudahan ini memberi kesan langsung kepada prestasi keseluruhan dan kesejahteraan mental,” katanya kepada Bernama.


Antara pelan dalaman WORQ Well di KL Eco City (Gambar Ihsan WORQ)

Beliau berkata ruang kerja bersama pada asalnya diwujudkan bagi menyediakan platform yang fleksibel dan boleh berkembang untuk membantu perniagaan membina serta memperluas operasi mereka.

“Kami sering menggambarkan konsep ini sebagai ‘pejabat Google mengikut permintaan’. Sama ada syarikat pemula, pekerja bebas atau syarikat asing yang memasuki pasaran Malaysia, ruang kerja bersama menawarkan platform yang menjimatkan kos serta boleh berkembang seiring pertumbuhan perniagaan - daripada pasukan kecil dua orang kepada kumpulan yang lebih besar seramai 10 hingga 20 orang,” katanya.

Namun, Ping berkata apabila industri itu kian berkembang, permintaan daripada pelanggan korporat turut meningkat, sekali gus mendorong pengendali memperkenalkan konsep ruang kerja yang lebih canggih dan menyeluruh.

“Apabila kami berkembang, kami menyedari banyak syarikat korporat mencari ruang kerja yang lebih kemas dan profesional dengan nilai tambah, termasuk persekitaran yang menitikberatkan kesejahteraan, bukan sahaja untuk berehat tetapi juga menyokong kesejahteraan mental, kecergasan dan tahap tenaga pekerja.

“Oleh sebab itulah kami memperkenalkan tawaran yang lebih sihat, program kesejahteraan serta kerjasama dengan jurulatih kecergasan bagi menggalakkan gaya hidup lebih aktif dan seimbang di tempat kerja,” katanya sambil menambah bahawa ruang kerja kini memainkan peranan penting sebagai tempat orang menjalani kehidupan, bekerja dan bersosial.

Pada masa ini, WORQ beroperasi di 12 lokasi di sekitar Lembah Klang dan menumpukan strategi pertumbuhannya pada lokasi yang berhampiran dengan rangkaian pengangkutan awam. Satu daripada cawangannya, WORQ Well di KL Eco City yang dilancarkan pada Februari 2026, merupakan hab ruang kerja bersama pertama di Malaysia yang dilengkapi kolam renang dan jakuzi.

Ping berkata konsep kesejahteraan sebenar di tempat kerja bukan sekadar melibatkan aktiviti seperti sesi motivasi kesihatan mental mingguan atau kelas aerobik sekali sekala, sebaliknya perlu diterapkan secara menyeluruh dalam reka bentuk ruang kerja itu sendiri, daripada kerusi ergonomik dan pencahayaan yang sesuai hinggalah bilik mesyuarat serta ruang kerja yang menggalakkan rehat dan pemulihan.

“Perkara-perkara inilah yang benar-benar penting. Kemudahan seperti ruang santai yang menenangkan, pod rehat dan zon kesejahteraan membolehkan pekerja mengambil rehat yang lebih bermakna, bukan sekadar ke pantri untuk ambil secawan kopi,” katanya.

 

RUANG KERJA BERORIENTASIKAN TRANSIT KIAN POPULAR

Pasaran pejabat di bandar-bandar utama Malaysia sedang mengalami perubahan susulan peningkatan kos serta perubahan jangkaan pekerja yang mendorong syarikat menilai semula keperluan ruang fizikal dan strategi penyewaan mereka.

Dahulunya didominasi oleh pencakar langit yang mewah dan pajakan jangka panjang berdasarkan keluasan, pasaran kini kian ditentukan oleh fleksibiliti, keterhubungan dan pengalaman pekerja dengan hab kerja bersama berorientasikan transit  muncul sebagai antara segmen pertumbuhan utama.

Pengarah Kewangan dan pengasas bersama WORQ Andrew Yeow berkata pembangunan berorientasikan transit (TOD) biasanya menawarkan akses yang lancar ke pengangkutan awam, dan model WORQ memanfaatkan lokasi ini untuk lebih menyokong profesional yang bekerja secara hibrid atau jarak jauh.

“Apabila majikan sektor swasta dan awam mula terbuka kepada pengaturan kerja hibrid, dengan ramai dalam sektor swasta sudah mengamalkannya, pekerja kini semakin mencari alternatif pejabat tradisional yang berkualiti tinggi dan fleksibel, terutama yang selari dengan perjalanan harian mereka.

“Sejajar dengan trend ini, data dalaman kami menunjukkan sejak awal tahun, kira-kira 50 peratus ahli WORQ telah beralih daripada menggunakan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam,” katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif penyedia ruang kerja fleksibel tempatan WORQ, Stephanie Ping (kanan) dan Pengarah Kewangan Andrew Yeow (kiri), bersama dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim (tengah) ketika pelancaran WORQ Well di KL Eco City. (Gambar Ihsan WORQ)

Ping berkata ramai profesional kini tidak lagi mengikuti rutin kerja tradisional dari titik A ke titik B.

“Apabila ruang kerja bersama ditempatkan secara strategik berhampiran hab transit, hospital, sekolah dan kawasan perumahan, ia membolehkan individu kekal produktif walau di mana sahaja mereka berada sepanjang hari.

“Mobiliti yang lancar ini mentakrifkan semula maksud ‘hari yang produktif’, sekali gus membolehkan kerja diintegrasikan secara lebih semula jadi dalam kehidupan harian,” katanya.

Lee berkata Infinity8 menumpukan perhatian pada lokasi strategik, berprofil tinggi dan berpotensi pertumbuhan tinggi seperti Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, Mid Vallet Southkey di Johor Bahru dan Beach Street di Pulau Pinang.

“Matlamat kami adalah untuk menempatkan Infinity8 di lokasi yang mempunyai nilai komersial tinggi dan potensi pembangunan jangka panjang.

“Walaupun kerja fleksibel telah meningkatkan permintaan di kawasan pinggir bandar, kami masih percaya lokasi utama yang strategik memainkan peranan penting dalam penjenamaan dan daya tarikan korporat,” katanya.


Salah satu cawangan ruang kerja bersama Infinity8 yang terletak di Tun Razak Exchange (Gambar Ihsan Infinity8)

 

DARIPADA SYARIKAT PEMULA KEPADA MNC 

Ruang kerja bersama yang sebelum ini dilihat sebagai pilihan khusus untuk syarikat pemula niaga kini berkembang menjadi strategi utama bagi syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelabur institusi.

Model ini menawarkan keupayaan untuk memasuki pasaran dengan lebih pantas, kos modal yang rendah serta pendekatan “space-as-a-service” yang membolehkan syarikat mengembangkan atau mengecilkan operasi tanpa terikat dengan kontrak jangka panjang.

“Tiada kerja pengubahsuaian dalaman diperlukan dan pasukan boleh mula beroperasi hampir serta-merta. Ini membolehkan syarikat memasuki pasaran dengan lebih pantas, mengurangkan kos serta menambah atau mengurangkan jumlah tenaga kerja dengan lebih mudah,” kata Ping.

Tambah beliau, banyak MNC kini menggunakan ruang kerja bersama sebagai sebahagian daripada strategi “hub-and-spoke”, iaitu menempatkan pasukan di beberapa lokasi dalam bandar sambil menguji pasaran baharu dengan risiko yang lebih rendah.

“Apabila berkembang ke bandar atau pasaran baharu, ruang kerja bersama menawarkan cara yang pantas dan mudah untuk menubuhkan pasukan tempatan.

“Daripada terus komited kepada ibu pejabat serantau yang besar sejak awal, syarikat boleh menguji pasaran secara lebih fleksibel dan berisiko rendah,” katanya,  menambah ruang kerja bersama sering berfungsi sebagai “bilik pameran” untuk pemilik bangunan mencari penyewa bagi ruang yang masih berbaki.

Lee pula berkata Infinity8 melihat kerja bersama bukan lagi sekadar penyelesaian sementara, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada strategi hartanah teras syarikat.

“Persoalannya kini bukan lagi sama ada ruang kerja fleksibel akan terus wujud, sebaliknya sejauh mana model ini akan diintegrasikan secara menyeluruh dalam perancangan korporat,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan