KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang bertemakan “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” menjadi platform penting untuk menilai peranan serta cabaran semasa golongan wanita dalam pembangunan negara, di samping menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkasakan mereka sebagai pemacu utama kemajuan sosial dan ekonomi.
Tema tahun ini menekankan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar isu kesaksamaan gender, sebaliknya faktor strategik dalam memperkukuh daya tahan negara, khususnya ketika dunia berdepan cabaran ekonomi global, perubahan struktur pekerjaan serta tekanan sosial yang semakin kompleks.
Ketika ini, wanita di Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran termasuk jurang penyertaan dalam tenaga kerja, beban berganda tanggungjawab penjagaan keluarga, akses kepada peluang ekonomi yang lebih luas serta isu keselamatan dan kesejahteraan sosial.
Menyedari realiti itu, Kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi memperkasakan wanita melalui pengukuhan ekonomi, perlindungan sosial serta usaha peningkatan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan di peringkat nasional dan korporat.
Antara langkah utama ialah penyediaan hampir RM3 bilion dana pembiayaan khusus untuk usahawan wanita melalui agensi seperti Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi membantu golongan itu mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi negara.
Seiring dengan usaha memperkasakan wanita sebagai pemacu pembangunan negara, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif sokongan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, kesejahteraan keluarga serta perlindungan sosial golongan itu.
Antara langkah utama ialah menyediakan RM270 juta pinjaman khusus bagi usahawan wanita, termasuk melalui program seperti PADURI MADANI, bagi memperluas akses pembiayaan kepada wanita yang ingin memulakan atau memperkukuh perusahaan mereka.
Dalam aspek sokongan kepada wanita bekerja pula, kerajaan menyediakan subsidi yuran pengasuhan RM180 sebulan bagi anak-anak di TASKA berdaftar, selain pelepasan cukai hingga RM3,000 untuk yuran penjagaan anak berumur hingga 12 tahun, bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan keluarga.
Inisiatif tersebut turut disokong dengan dasar fleksibiliti pekerjaan termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam keadaan tertentu bagi membolehkan wanita menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.
Bagi wanita yang kembali bekerja, mereka dibantu melalui inisiatif Career Comeback Programme (CCP), suri rumah melalui i-Suri, dan pekerja gig melalui Skim Lindung Kendiri.
Kerajaan juga memberi perhatian khusus kepada golongan ibu tunggal melalui pelbagai bantuan kebajikan, sokongan guaman serta program peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan bagi memastikan mereka mampu berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan.
Pada masa sama, usaha memperkukuh perlindungan wanita turut diperkasakan melalui garis panduan advokasi antigangguan seksual serta penambahbaikan mekanisme pelaporan bagi memastikan persekitaran kerja dan sosial yang lebih selamat.
Dalam hal ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha memperkasakan wanita perlu dilihat sebagai agenda nasional melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.
Ahli Parlimen Santubong itu juga berkata wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, malah menjadi penyumbang signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
“Kerajaan komited memastikan wanita mempunyai akses yang adil kepada peluang ekonomi, pendidikan serta kepimpinan supaya potensi mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kemajuan negara,” katanya.
Seiring dengan itu, kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dilantik sebagai pembuat keputusan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat tersenarai awam sebagai langkah memperkukuh kepimpinan wanita dalam sektor korporat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa pemerkasaan wanita merupakan komponen penting dalam kerangka pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
Menurut beliau, wanita harus diberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk memimpin, menyumbang serta menentukan arah masa depan negara kerana kemajuan sesebuah bangsa tidak akan tercapai tanpa penglibatan wanita secara bermakna.
Dalam konteks dasar jangka panjang, kerajaan juga sedang memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang memberi penekanan kepada pengarusperdanaan gender dalam setiap aspek pembangunan negara.
Dasar itu menegaskan iltizam Kerajaan MADANI untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, memperkasakan kepimpinan wanita, memperkukuh perlindungan daripada keganasan rumah tangga serta memastikan kesejahteraan sosial golongan ini terus terpelihara.
Secara keseluruhan, sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada setiap 8 Mac bukan sekadar menghargai sumbangan wanita dalam pelbagai bidang, tetapi peringatan bahawa usaha memperjuangkan kesaksamaan dan pemerkasaan wanita perlu diteruskan secara berterusan.
Selaras dengan tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, langkah memperkasakan wanita diyakini bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat, malah menjadi pemangkin penting dalam membina sebuah negara yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial