JERLUN, 8 Mac (Bernama) -- Paras air empangan di kawasan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terjejas akibat kemarau yang sedang melanda negeri ini, dijangka memberi impak kepada hasil pengeluaran padi pada musim ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata paras air di empangan utama, khususnya Empangan Pedu menyusut ke paras sekitar 40 peratus akibat cuaca panas melampau dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Hujan mulai turun di beberapa kawasan tetapi ia tidak memberi kesan besar kerana hujan perlu turun di kawasan hulu bagi menambah takungan air di empangan. Buat masa ini, MADA merancang untuk melaksanakan kaedah tabur kering sementara menanti bekalan air empangan disalurkan seperti biasa.
“Hasil padi memang sedikit merosot akibat cuaca tidak menentu, tetapi kerajaan telah mengumumkan peruntukan bantuan gantian yang agak tinggi bagi meringankan beban petani,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) serta sesi perjumpaan bersama pemimpin peladang kawasan MADA di sini, malam tadi.
Menurut laman rasmi MADA, Empangan Pedu mencatatkan kadar takungan air sebanyak 42.23 peratus, Empangan Muda (11.12 peratus) dan Empangan Ahning (55.96 peratus) dengan jumlah keseluruhan kadar takungan air sebanyak 41.55 peratus.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kementeriannya akan terus memantau rapi impak ketegangan geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah bagi melihat kesannya terhadap sekuriti makanan negara.
“Meskipun bekalan makanan buat masa ini tidak terjejas secara langsung, kebimbangan utama kita adalah kenaikan harga minyak global yang boleh melonjakkan kos pengimportan dan pengangkutan bahan makanan.
“Saya sudah mengarahkan Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan untuk menyediakan laporan kesan konflik tersebut dalam tempoh seminggu. Kita bimbang jika ia berlarutan, harga minyak akan naik dan menjejaskan harga barangan di pasaran jadi kita berharap genjatan senjata dapat disegerakan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan stok daging, ayam dan kelapa mencukupi untuk musim perayaan Aidilfitri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial