AM

10,726 Pesawah Terima Pampasan Skim Takaful Tanaman Padi Setakat Ini

07/03/2026 09:19 PM

JERLUN, 7 Mac (Bernama) -- Sebanyak 10,726 pesawah tempatan seluruh negara telah menerima pampasan keseluruhan sebanyak RM24.6 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sejak 2024 hingga hari ini. 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata STTP yang diperkenalkan sejak Sept 2024 merupakan skim takaful yang dirangka khusus bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah berdaftar yang mengalami kerosakan atau kerugian kekal tanaman padi akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

“Skim ini menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam. Bagi kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman pula, perlindungan yang ditawarkan adalah sehingga RM1,500 sehektar semusim.

“Skim ini bukan sahaja memberi perlindungan kewangan kepada pesawah, malah membantu meningkatkan daya tahan dalam menghadapi risiko luar jangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya kepada media di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau telah menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan STTP dan perjumpaan bersama pemimpin peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Pada majlis itu, sebanyak empat pesawah dari Kedah dan enam pesawah dari Perlis telah menerima sumbangan STTP yang melibatkan kos berjumlah lebih RM507,000. 

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata pihaknya menggalakkan para pesawah untuk melengkapkan proses pendaftaran melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta membuka akaun Agrobank bagi memudahkan urusan tuntutan dan penyaluran pampasan.

“Perlindungan seperti ini penting, khususnya dalam menghadapi musim tengkujuh dan risiko banjir yang tidak menentu. Bencana alam ini boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru langkah persediaan awal amat penting bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan pesawah terus terpelihara. 

“Melalui STTP ini, Agrobank komited untuk memperkasakan sokongan kepada pesawah agar sektor penanaman padi negara kekal mampan dan sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan