KUANTAN, 7 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru umat Islam terus menjadikan al-Quran pedoman utama dalam membentuk peribadi berakhlak mulia, berilmu dan berintegriti dalam setiap aspek kehidupan.
Baginda berdua menzahirkan harapan agar nilai murni terkandung dalam al-Quran seperti keadilan, kasih sayang, kejujuran dan kesederhanaan dapat terus diamalkan dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negeri serta negara.
“Peristiwa Nuzul Quran merupakan detik penting dalam sejarah umat Islam kerana menandakan turunnya wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh manusia,” titah baginda berdua yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.
Dalam hantaran itu, baginda berdua menzahirkan ucapan selamat menyambut Nuzul Quran kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya di Pahang.
Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang mendoakan sambutan Nuzul Quran tahun ini menjadi ruang untuk umat Islam memperkukuh keimanan, memperbanyak amalan membaca, memahami serta menghayati kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial