AM

Pengurusan Rumah Ibadat Bukan Islam Diperkemas Melalui Pendekatan Dialog

07/03/2026 09:27 AM

PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan terus memperkukuh tadbir urus berkaitan rumah ibadat bukan Islam bagi memastikan pengurusan, penyelarasan serta pendekatan terbaik dalam menangani isu yang timbul selaras dengan kerangka pentadbiran sedia ada.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Strategi Keharmonian dan Tadbir Urus Berkaitan Isu Rumah Ibadat Bukan Islam yang dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Perpaduan Negara R.Yuneswaran dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, semalam.

Menurut kenyataan bersama, perbincangan turut menyentuh keperluan untuk memperkukuh kefahaman berkaitan prosedur dan garis panduan dalam pengurusan serta pembinaan rumah ibadat.

Kenyataan itu memaklumkan pada peringkat Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memainkan peranan penting dalam penyelarasan hal ehwal rumah ibadat bukan Islam, termasuk melalui Unit Penyelarasan Dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang memantau dan menyelaras pemberian dana berkaitan.

"Sehubungan itu, semua pihak wajar mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KPKT berkaitan pengesahan serta pengurusan tapak rumah ibadat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan perkara berkenaan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171); Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

"Kerajaan akan terus menyediakan platform dialog bersama wakil komuniti agama bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani melalui pendekatan perundingan, kefahaman bersama dan semangat perpaduan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kerajaan memberi peringatan tegas supaya isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak dieksploitasi sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

"Pendekatan dialog, rundingan dan mediasi akan terus menjadi kaedah utama dalam mengurus sebarang isu melibatkan komuniti pelbagai agama agar setiap perkara dapat ditangani secara berhemah tanpa menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu turut dihadiri pengerusi dan wakil rumah ibadat pelbagai agama dari seluruh negara, termasuk komuniti Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Sikh dan Bahai.

Turut hadir wakil daripada beberapa agensi kerajaan antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), KPKT, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan PLANMalaysia.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan