KUCHING, 7 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Sentosa Indah, Sri Aman awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 3.02 pagi dengan terdapat enam mangsa berada di dalam rumah terbabit semasa kejadian berlaku.
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang tiba di lokasi mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat yang terbakar 100 peratus,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan menemukan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung di tingkat atas rumah dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurut JBPM Sarawak, seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berusia 65 tahun didapati melecur pada badan dan dihantar ke Hospital Sri Aman.
"Tiga mangsa lain iaitu wanita berusia 40 tahun, remaja perempuan berusia 13 tahun serta remaja lelaki 15 tahun yang melecur pada bahagian kaki telah dihantar ke hospital oleh orang awam,” menurut kenyataan itu.
Punca dan kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial