JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Siasat Video Tular MPV Ambil Bungkusan Di Restoran Mamak

06/03/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik pasukan itu yang berhenti untuk mengambil bungkusan di sebuah restoran mamak, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya mengesan video berdurasi 12 saat itu di media sosial pada 7.50 malam yang memaparkan insiden di kawasan deretan kedai dalam daerah pentadbiran berkenaan.

Beliau berkata rakaman itu menunjukkan seorang pekerja restoran menghampiri kenderaan MPV dengan kod kenderaan SL198 sebelum menyerahkan dua bungkusan plastik berwarna putih kepada pemandu kenderaan tersebut di siang hari.

"Pihak IPD Sungai Buloh mengesahkan kejadian yang berlaku melibatkan MPV milik IPD ini. Perkara ini akan disiasat secara terperinci dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang didapati terlibat.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga pasukan yang melakukan salah laku hingga boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mencemarkan imej pasukan polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan