JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Tahan Empat Lelaki, Rampas 46,620 Kg Buah-buahan Disyaki Tidak Bayar Cukai

06/03/2026 07:17 PM

ALOR SETAR, 6 Mac (Bernama) -- Empat lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan membawa masuk buah-buahan dari Thailand tanpa mematuhi syarat cukai import dalam satu operasi bersepadu di Durian Burung di sini, Rabu lepas. 

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata tangkapan ke atas kesemua suspek berusia antara 36 hingga 47 tahun itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 18 Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah pada 5.40 petang.

“Turut dirampas tiga lori jenis Hino dan sebuah lori jenis Isuzu serta 46,620 kilogram (kg) pelbagai jenis buah-buahan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM1.675 juta.

“Operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan buah-buahan dari negara jiran ke Malaysia tanpa pembayaran cukai sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata empat lori berkenaan ditahan di tepi Jalan Durian Burung selepas disyaki membawa muatan buah-buahan tanpa mematuhi syarat cukai import yang ditetapkan pihak kastam.

Balveer berkata semakan dokumen mendapati kesemua lori itu membawa muatan melebihi had dibenarkan selain kandungan muatan tidak selaras dengan butiran yang diikrarkan dalam dokumen kastam.

“Kesemua lori itu membawa muatan berkenaan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung sebelum dipercayai dalam perjalanan menuju ke Lembah Klang untuk dihantar kepada sebuah syarikat pemborong buah-buahan,” katanya.

Beliau berkata kes telah diserahkan kepada JKDM Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan