JENAYAH & MAHKAMAH

CDO Elopura Mengaku Tidak Bersalah Guna Jawatan Bantu Keluarga Dapat Rumah SMJ

06/03/2026 09:15 PM

SANDAKAN, 6 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai kemajuan masyarakat (CDO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan untuk mencadangkan dua ahli keluarganya mendapat bantuan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 2022.

Pengakuan Herman Idris, 52, direkodkan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Herman didakwa sebagai pegawai badan awam, iaitu CDO kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura telah menggunakan jawatan untuk suapan kepada dua ahli keluarga dengan mengesyorkan mereka sebagai penerima rumah SMJ yang bernilai RM70,000 dan seterusnya terpilih menerima bantuan itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan pada 2.30 petang 26 Sept 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala Herman diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon.

Hakim membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan Herman melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan selain menetapkan 2 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan