KAPIT, 6 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan feri baharu yang mampu membawa sehingga 24 kenderaan pada satu masa di Persimpangan Nanga Tulie, Batang Rajang akan memudahkan pergerakan harian penduduk sekitar Bahagian Kapit apabila siap kelak.
Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek menelan kos RM23.5 juta itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak bagi menyediakan kemudahan pengangkutan lebih selamat, teratur dan efisien kepada penduduk setempat.
Beliau berkata projek cadangan Operasi Satu Feri 24-Kereta di Persimpangan Nanga Tulie itu termasuk pembinaan dan penyiapan kemudahan pendaratan feri.
“Bagi masyarakat di Kapit, sungai bukan sekadar pemandangan tetapi merupakan laluan kehidupan yang menghubungkan mereka dengan tempat kerja, sekolah, pusat perkhidmatan serta kawasan pertanian.
“Sejak dahulu ramai penduduk di sekitar Batang Rajang perlu menyeberangi sungai bagi menjalankan urusan harian seperti bekerja, menghantar anak ke sekolah, membawa hasil pertanian dan mendapatkan keperluan asas,” katanya menerusi hantaran Facebook selepas merasmikan majlis pecah tanah hari ini.
Nanta berkata sebagai anak jati Kapit yang diberi amanah mewakili kawasan itu sejak 1999, usaha memudahkan perjalanan harian masyarakat luar bandar sentiasa menjadi antara keutamaan beliau.
Projek itu, menurut beliau akan dilaksanakan oleh Rambungan Maju Sdn Bhd melalui pendekatan reka dan bina.
Beliau berkata projek itu dijangka memberi manfaat kepada 33 rumah panjang dari Nanga Tulie hingga ke Pekan Merit selain memudahkan pergerakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin dan SK Ulu Pelagus.
“Kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan sistem pengangkutan, malah membantu mempercepat urusan harian masyarakat termasuk membawa hasil pertanian, menghantar barangan keperluan serta memudahkan perjalanan ke sekolah, tempat kerja dan pusat perkhidmatan,” katanya.
Nanta berkata kemudahan itu juga berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Perkhidmatan feri itu hanya akan mengenakan tambang RM1 bagi setiap perjalanan bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dinikmati masyarakat luar bandar dengan kos yang rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial