AM

Naik Taraf MyNIISe, Sebahagian Perkhidmatan Imigresen Mungkin Terjejas

06/03/2026 03:52 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kerja naik taraf dan migrasi data bagi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bermula 9 hingga 15 Mac ini.

KDN dalam kenyataan memaklumkan, beberapa perkhidmatan digital imigresen berkemungkinan mengalami gangguan capaian sementara dari 8 malam hingga 4 pagi setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

“Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh keselamatan data, dan meningkatkan kecekapan sistem demi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap dan mesra pengguna.

“KDN memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan sistem kembali beroperasi sepenuhnya dalam kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, prosedur manual serta sistem sokongan sementara di pintu masuk antarabangsa akan diaktifkan bagi memastikan pergerakan keluar masuk negara kekal lancar, tanpa menjejaskan keselamatan negara sepanjang tempoh berkenaan.

Maklumat terkini berhubung status sistem itu akan turut dikongsikan melalui laman web rasmi dan media sosial KDN, Jabatan Imigresen Malaysia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memudahkan orang ramai merancang perjalanan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang urusan imigresen lebih awal serta mengelakkan transaksi dalam talian sepanjang tempoh penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.

MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih 20 tahun kerana sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan yang tinggi, serta keperluan integrasi data semasa.

Aplikasi MyNIISe mula digunakan pada 22 Sept tahun lepas di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor, dan akan diperluas secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan