JENAYAH & MAHKAMAH

Lim Guan Eng Fail Notis Rayuan Berhubung Jumlah Ganti Rugi Saman Fitnah

06/03/2026 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Penasihat DAP Lim Guan Eng memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung jumlah ganti rugi kes saman fitnah yang difailkannya.

Lim berjaya dalam saman terhadap bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin serta dua lagi selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat terhadapnya adalah fitnah.

Peguamnya Datuk Sankara Nair dalam satu kenyataan berkata notis itu difailkan hari ini, dan rayuan berkenaan berhubung jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah Dorai Rajah semalam.

“Anak guam kami bersyukur dan menghargai keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan fitnahnya, mendapati defendan bertanggungjawab serta membayar ganti rugi.

“Namun, anak guam kami tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi berkenaan, iaitu RM50,000 sebagai ganti rugi dan bayaran kos sebanyak RM5,000, yang dianggap tidak mencukupi dalam keadaan itu. Rayuan ini bertujuan mendapatkan penilaian semula jumlah ganti rugi, sesuai dengan kemudaratan terhadap reputasi yang dialami anak guam kami,” katanya.

Pada 7 Jun 2024, Lim memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Zuraida, editor MalaysiaNow Muhammad Abd Ar-Rahman Koya dan MNow Media Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata Zuraida telah mengeluarkan kenyataan palsu terhadapnya berkaitan projek perumahan untuk bekas kakitangan ladang di Bestari Jaya, Selangor.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan