Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
BANGKOK, 6 Mac (Bernama) -- Industri pemprosesan dan pembungkusan di seluruh Asia dijangka terus berkembang tahun ini, didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan daripada sektor makanan dan minuman (F&B) serta pengembangan aktiviti pembuatan di rantau ini.
Pengurus Besar Negara Informa Markets Thailand Sanchai Noombunnam berkata meskipun prestasi ekonomi di Thailand berbeza mengikut sektor, industri F&B kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan negara itu.
“Thailand berada di kedudukan ke-12 dunia bagi eksport makanan pada 2023, mencerminkan asas kukuh sektor tersebut.
“Kekuatan ini turut dapat dilihat di banyak pasaran Asia, di mana permintaan terhadap makanan diproses dan penyelesaian pembungkusan moden terus meningkat,” katanya kepada pemberita semasa lawatan suai kenal media pameran antarabangsa ProPak Asia 2026.
Menurut Sanchai, pengeluar di seluruh Asia kini semakin beralih kepada teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, mempertingkat keselamatan produk dan memanjangkan jangka hayat produk, selaras dengan perubahan jangkaan pengguna serta keperluan peraturan yang semakin berkembang.
Beliau berkata susulan rantaian bekalan global yang sentiasa berubah, pengeluar turut mempercepat pelaburan mereka dalam automasi, pendigitalan, kemampanan dan sistem pengeluaran pintar.
Selain itu, katanya, peningkatan kos pengeluaran, tekanan peraturan serta permintaan yang semakin tinggi terhadap kebolehkesanan produk dan pembungkusan mesra alam kini membentuk semula strategi industri di ASEAN dan global.
"Ketidaktentuan dalam persekitaran semasa menyebabkan industri perlu mempercepatkan usaha penambahbaikan," katanya.
Berhubung ProPak Asia 2026, Sanchai berkata pameran itu akan menjadi platform penting bagi syarikat untuk mengakses teknologi baharu, membina kerjasama strategik dan memperoleh pandangan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Ia juga membantu syarikat memperkukuh kualiti dan pematuhan, selain membangunkan operasi yang lebih mampan merangkumi keseluruhan rantaian daripada pemprosesan dan pengeluaran hingga pembungkusan, pergudangan dan logistik.
ProPak Asia 2026 merupakan pameran perdagangan antarabangsa utama bagi teknologi pemprosesan dan pembungkusan di Asia, akan berlangsung dari 10 hingga 13 Jun 2026 di IMPACT Muang Thong Thani, Bangkok, Thailand.
Dianjurkan oleh Informa Markets di Thailand, edisi 2026 itu akan menghimpunkan peneraju industri, inovator teknologi, pengeluar dan pembuat keputusan daripada sektor makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik, penjagaan diri, barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta barangan pengguna di bawah satu platform.
Informa Markets merupakan satu daripada lima bahagian di bawah syarikat induk berpangkalan di United Kingdom (UK), Informa plc.
Selain itu, ProPak Asia 2026 akan menampilkan teknologi generasi baharu termasuk automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), robotik, sistem kilang pintar, pemantauan pengeluaran berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT), peralatan pemprosesan canggih, inovasi rantaian sejuk serta bahan dan reka bentuk pembungkusan mampan.
Lebih 2,500 jenama pempamer dari 45 negara dijangka menyertai acara itu, bersama 15 pavilion antarabangsa dari 14 negara dan wilayah termasuk Australia, Bavaria, China, Perancis, Itali, Jepun, Malaysia, Amerika Utara, Singapura, Korea Selatan, Switzerland, Taiwan, Sepanyol dan UK.
ProPak Asia 2026 juga akan mempamerkan lebih 18,000 teknologi dan mesin merentasi sembilan zon industri khusus, serta dijangka menarik lebih 90,000 pengunjung termasuk 15,000 pengunjung antarabangsa dengan 95 peratus ruang pameran telah pun ditempah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial