KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- “Wira TVET” perlu diperkasakan melalui kerjasama erat antara industri dan institusi latihan kemahiran bagi memastikan pembangunan bakat negara dilaksanakan secara lebih tersusun serta memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata kerjasama strategik itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, khususnya dalam menghadapi perubahan pesat teknologi dan landskap pekerjaan masa hadapan.
“Yayasan Mahir Malaysia melancarkan penjenamaan Wira TVET sebagai satu inisiatif bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam program TVET berimpak tinggi serta mengangkat martabat tenaga kerja mahir sebagai pemacu utama pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus TVE-Industri anjuran Yayasan Mahir Malaysia bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), baru-baru ini.
Beliau berkata Yayasan Mahir Malaysia komited memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merapatkan jurang antara pemain industri dan pusat latihan kemahiran bagi melahirkan lebih ramai “Wira TVET” yang kompeten serta berdaya tahan.
Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group Berhad (SG TVET) berkata usaha mengangkat martabat graduan TVET sebagai wira kemahiran negara diperkenalkan melalui inisiatif oleh SG TVET.
Melalui inisiatif itu, syarikat berkenaan melancarkan enam karakter adiwira dikenali sebagai “Wira TVET”.
“Pendekatan berkonsepkan adiwira ini bertujuan menyerlahkan potensi graduan TVET serta mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang kemahiran merupakan laluan kerjaya yang berprestij dan relevan dengan industri masa hadapan,” katanya.
Enam karakter itu mewakili bidang kemahiran utama, iaitu Aero Wira-Skybyte (dron), Mecha Wira-Torque (mekatronik), Volt Wira-ChargeR (kenderaan elektrik), Chef Wira-Flamebatik (hospitaliti), Tech Wira-Cipher (teknologi maklumat) serta Media Wira-PixelRaya (media digital dan kreatif).
Sesi libat urus itu menghimpunkan wakil pengurusan tertinggi agensi kementerian, pemain industri serta penyedia latihan kemahiran dari seluruh negara bagi memperkukuh pembangunan ekosistem kemahiran negara.
Antara fokus utama perbincangan termasuk pembangunan kemahiran dalam bidang teknologi masa hadapan seperti kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi dron, automasi serta pendigitalan industri.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Dr Kamaruzaman Md Ali berkata transformasi sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memerlukan komitmen kolektif semua pihak termasuk kerajaan, industri dan penyedia latihan kemahiran.
Dalam sesi berkenaan, para peserta turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan atas komitmen memperkasakan sektor TVET termasuk melalui pemerkasaan serta peluasan skop Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang diluluskan baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial