KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia menzahirkan solidariti terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, sekali gus menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan di rantau berkenaan ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan semalam bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semakin meruncing di Timur Tengah susulan siri serangan menggugat kestabilan rantau tersebut.
“Kejadian peluru berpandu yang menuju ke arah ruang udara negara itu (Turkiye) menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berhubung insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ayatollah Ali Khamenei, Anwar berkata peristiwa itu berisiko menjerumuskan Timur Tengah ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
Perdana Menteri berkata beliau dan Erdogan senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
Anwar berkata beliau turut menyatakan penghargaan terhadap peranan Erdogan yang sering tampil sebagai suara nurani bagi dunia Islam, termasuk usaha Turkiye memainkan peranan sebagai perantara antara Washington dan Tehran dalam membuka ruang dialog dan penyelesaian diplomatik.
Beliau berkata Malaysia turut menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Timur Tengah, dan pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan.
Anwar berkata beliau juga menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat, dan menegaskan pendirian jelas Malaysia bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial