JENAYAH & MAHKAMAH

Wang Pengenalan RM2.8 Juta Diberi Secara Sukarela Dan Sah - Zizie Izette

05/03/2026 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Balu bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa wang pengenalan sebanyak RM2.8 juta yang diperoleh daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad diberikan secara sukarela dan sah.

Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, 47, berkata beliau terkejut apabila mengetahui Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid ingin memberikan wang itu sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka dalam jaringan sosial.

"Saya terkejut… saya beritahu beliau (Norhaili) bahawa saya tidak buat apa-apa pun... namun begitu, Elly menyatakan bahawa ia merupakan amalan biasa agensinya dan strategi pemasaran," kata saksi pembelaan kedua itu.

Beliau membaca pernyataan saksi ketika membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya membabitkan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen telah membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry, bekas pelakon wanita itu berkata beliau tidak menolak pemberian wang tersebut.

"Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali-kali... dari mana, macam mana, duit dari mana... setelah saya fikir semua, saya tidak menolak," katanya.

Mohamad Fadhly: Ini kali pertama di mahkamah Datin Seri katakan Datin Seri tidak menolak pemberian wang daripada Norhaili.

Zizie Izette: Setelah saya diyakinkan oleh Norhaili… ya, saya tidak menolak wang itu dan saya setuju (untuk menerimanya).

Bagaimanapun, Zizie Izette tidak bersetuju dengan cadangan Mohamad Fadhly bahawa beliau mengetahui RM2.8 juta itu adalah suapan dan bukan wang pengenalan.

Semasa pemeriksaan semula, peguam Ridha Abdah Subri menyoal mengapa Zizie Izette bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa beliau tidak menolak pemberian wang pengenalan itu.

"Setelah saya ambil kira dan mendengar penjelasan Elly bahawa sumber (wang) itu adalah komisen Elly daripada Public Mutual, saya tidak nampak ada benda tidak betul di situ... maka saya terima dengan rela hati setelah ambil pertimbangan."

Zizie Izette berkata beliau juga tidak pernah memberikan wang itu kepada suaminya, dan tidak pernah memaklumkan perkara tersebut kepada Bung Moktar serta menafikan bersubahat dengan Allahyarham dalam sebarang salah laku.

Katanya beliau dan Bung Moktar telah mencapai kata sepakat untuk menguruskan hal ehwal kewangan secara berasingan kerana mereka mempunyai peti besi masing-masing di rumah, dan tidak memiliki akaun bersama.

"Saya juga tidak pernah dengan sebarang cara, secara langsung atau tidak langsung, bersubahat, mendorong atau menggalakkan suami saya untuk mendapatkan kelulusan daripada Felcra Berhad atau daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Bhd membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual," katanya.

Zizie Izette berdepan pertuduhan bersubahat dengan Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, untuk memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Zizie Izette juga berdepan pertuduhan bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan