KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM164.01 juta bagi program pembangunan modal insan di negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, antara bidang yang diutamakan ialah pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi kecerdasan buatan (AI).
“Pembangunan modal insan tetap diutamakan menjadi sebahagian daripada program pembangunan anak-anak watan negeri ini ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan,” katanya.
Hajiji berkata demikian menerusi ucapannya semasa majlis perasmian Program Latihan Guru-Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk di sini hari ini yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib.
Teks ucapan beliau dikeluarkan kepada media oleh Pejabat Ketua Menteri hari ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang membuka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti secara inklusif, khususnya yang menjadikan STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah.
“Kita mahu memastikan program seperti ini berjalan dengan teratur dan kemas, melalui kerjasama rapat antara pihak pendidikan, sekolah, komuniti dan rakan strategik, supaya para guru mendapat sokongan yang sewajarnya dan murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna,” katanya.
Dalam konteks ini, beliau berkata latihan guru hari ini signifikan kerana murid akan lebih bersedia untuk memahami teknologi, membina keyakinan, dan menghasilkan inovasi yang berguna apabila guru mereka diperkasa dengan kemahiran dan alat yang betul.
“Program ini tidak sekadar memperkenalkan robotik sebagai aktiviti tambahan, tetapi ia juga dengan pendekatan yang lebih tersusun melalui model pelaksanaan di sekolah.
“Ini termasuk keperluan infrastruktur minimum, penggunaan kit robotik, platform pembelajaran, serta latihan guru secara Train-the-Trainer untuk memastikan pelaksanaan benar-benar berkesan,” katanya.
Hajiji berkata penggunaan kit robotik LEANBOT sebagai alat pembelajaran utama serta integrasi latihan secara fizikal dan simulasi melalui Digital Twin mampu memberikan pendekatan pembelajaran secara praktikal kepada murid.
“Ia membantu murid belajar melalui pengalaman membina, menguji, membuat penambahbaikan, dan akhirnya memahami konsep secara lebih mendalam, bukan sekadar menghafal teori,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial