NEW YORK, 5 Mac (Bernama-dpa) -- Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) sekali lagi berdepan tamparan hebat dalam pertikaian undang-undang berhubung pelaksanaan tarifnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang hakim di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS di New York pada Rabu memutuskan bahawa pengimport berhak menerima bayaran balik bagi tarif yang telah dibayar, selepas Mahkamah Agung AS baru-baru ini mengisytiharkan pelaksanaan itu sebagai tidak sah.
Plaintif dalam kes berkenaan merupakan sebuah syarikat dari negeri Tennessee.
Dengan memetik undang-undang kecemasan 1977, Presiden AS Donald Trump telah mengenakan tarif terhadap puluhan rakan dagang tanpa kelulusan Kongres sejak permulaan penggal kedua pentadbirannya.
Dalam penghakiman bersejarah bulan lepas, Mahkamah Agung mengisytiharkan tarif itu sebagai tidak sah mengikut undang-undang.
Para hakim berpendapat bahawa undang-undang sedia ada tidak membenarkan seorang Presiden AS mengenakan tarif secara bebas.
Bagaimanapun, mereka tidak memutuskan sama ada kerajaan wajib membayar balik hasil tarif yang telah dikutip daripada pengimport.
Susulan itu, beberapa syarikat termasuk gergasi logistik AS, FedEx, memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York bagi mendapatkan semula bayaran tarif itu.
Gelombang tuntutan bayaran balik dijangka berlaku serta-merta selepas keputusan Mahkamah Agung itu.
Mengikut pengiraan oleh University of Pennsylvania, isu ini boleh melibatkan implikasi kewangan kira-kira US$175 bilion kepada Belanjawan Persekutuan AS, atau bersamaan dengan kira-kira 2.5 peratus daripada keseluruhan belanjawan.
--BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial