KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kumpulan Pelaburan MARA menyalurkan sumbangan korporat dan menyerahkan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM56,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Mahdzir Othman berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan usaha berterusan pihaknya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Harapan kami program seperti ini dapat terus menyumbang kepada masyarakat dan pada masa sama mengeratkan hubungan silaturahim antara syarikat dengan komuniti yang menerima bantuan,” katanya kepada Bernama pada majlis Iftar Ramadan 2026 di sini, hari ini.
Pengerusi Pelaburan MARA, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM30,000 kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab melalui anak syarikat kumpulan itu, PMB Tijari Bhd.
Selain itu, zakat perniagaan berjumlah RM3,000 turut diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) serta tajaan zakat perniagaan bagi iftar dan duit raya anak asnaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia berjumlah lebih RM13,000 diserahkan oleh PMB Tijari, PMB Analytics Sdn Bhd serta Kelab Sukan dan Kebajikan PMB United.
Pelaburan MARA Bhd bersama-sama empat anak syarikatnya iaitu PMB Investment Bhd, PMB Tijari, PMB Analytics dan PMB Sustainable Sdn Bhd turut menyalurkan sumbangan korporat berjumlah RM10,000 kepada organisasi yang sama bagi menyokong keperluan operasi dan penyelenggaraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial