AM

Perunding Malaysia Terkandas Di Dubai, Hadapi Peningkatan Kos

04/03/2026 11:54 AM

Oleh Yeap Boo Yam

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Seorang perunding Malaysia yang dalam urusan perniagaan ke Dubai terkandas tiga hari selepas lapangan terbang ditutup berikutan konflik Timur Tengah. 

Allan Sandosham, 66, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada Khamis (26 Feb) dan dijadualkan ke Singapura pada Ahad (1 Mac). 

“Saya selesai bermesyuarat dengan pelanggan pada Jumaat dan telah mendapatkan pas masuk untuk penerbangan Ahad apabila berita lapangan terbang ditutup tersebar,” katanya yang bekerja dalam industri minyak dan gas.

Pembatalan itu menjejaskan jadualnya kerana beliau dijadualkan mengendalikan bengkel lima hari di Singapura minggu ini.

“Saya terpaksa mengendalikan bengkel secara dalam talian dari bilik di Novotel Deira City Center dua hari lepas bermula pada 5 pagi,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp malam tadi.

Beliau berkata hampir tiada komunikasi daripada Emirates dan pembukaan semula kelihatan seperti tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat.

Walaupun dapat menyelesaikan bengkel secara jarak jauh, Allan bimbang tentang kos lanjutan penginapannya.

“Saya telah menghantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia mengenai keadaan ini dan berharap dapat dipertimbangkan sekiranya kerajaan mengaturkan pemindahan,” kata Allan yang berkunjung ke Dubai buat kali pertama.

Beliau menyatakan walaupun penerbangan komersial disambung semula hujung minggu ini, tunggakan penumpang yang terkumpul tidak dapat dielakkan mengambil kira kebiasaan terdapat tiga penerbangan harian dari Dubai ke Kuala Lumpur.

“Terdapat pemberitahuan rasmi daripada Abu Dhabi bahawa kerajaan akan menanggung makanan dan penginapan mereka yang terkandas tetapi kami tidak mendengar apa-apa dari Dubai,” katanya.

Allan berkata sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan di Malaysia serta tempat lain, dan berharap dapat pulang ke tanah air tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan