AM

Fokus 2026 Perkasa Projek, Program Beri Manfaat Rakyat Terbanyak - PM Anwar

03/03/2026 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa fokus pada 2026 perlu ditumpukan kepada memperkasakan projek dan program yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat terbanyak.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat bersama pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang antara lain membincangkan perkembangan dasar perumahan, pembangunan bandar serta usaha memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan konstruktif itu menyentuh pelbagai aspek penting termasuk usaha memperluas akses kepada perumahan mampu milik, mempercepat proses kelulusan projek, mempertingkatkan mutu tadbir urus serta memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

“Inti pati mesyuarat ini juga amat penting bagi membolehkan kementerian merangka langkah-langkah strategik yang lebih tuntas dan responsif, demi menjamin perancangan perumahan dan pembangunan komuniti benar-benar memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Hatta, fokus 2026 ini haruslah ditumpukan kepada memperkasakan projek dan program demi rakyat terbanyak, terutamanya aspek perumahan mampu milik yang berkualiti, kebersihan kawasan awam dan pengurusan sisa yang lebih sistematik,” kata Anwar.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut diberi taklimat K.H.A.S (Keutamaan Insan, Hasil Pantas, Anjakan Berimpak Tinggi, Sistematik), satu kerangka komitmen KPKT dalam melaksanakan reformasi yang akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

K.H.A.S ialah pelaksanaan dasar kementerian yang mengutamakan keperluan rakyat, memacu penyampaian perkhidmatan yang pantas, melaksanakan perubahan struktur berimpak besar dan memastikan tadbir urus yang telus serta sistematik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan