KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Tune Talk muncul sebagai syarikat telekomunikasi (telco) pertama di ASEAN yang melaksanakan teknologi teras natif-awan (cloud-native core) pada skala besar, susulan kejayaan menyiapkan Fasa 1 program Pemodenan Rangkaian Teras Awan dengan kerjasama Nokia.
Pengumuman itu dibuat sempena Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona. Tune Talk memaklumkan Fasa 1 telah disiapkan pada Januari 2026, manakala Fasa 2 kini sedang dilaksanakan untuk mempertingkatkan automasi, orkestrasi dan keupayaan rangkaian pintar.
Menurut kenyataan syarikat hari ini, sistem baharu itu dibangunkan berasaskan seni bina mikroperkhidmatan yang dikontena sepenuhnya, menawarkan kebolehskalaan elastik, prestasi mampan dan kecerdasan masa nyata, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam reka bentuk dan pengoperasian rangkaian mudah alih moden.
Strategi teras natif-awan ini telah diterjemahkan kepada momentum perniagaan yang kukuh, dengan jumlah pelanggan meningkat daripada 950,000 pada 2024 kepada 1.8 juta menjelang akhir 2025, dan dijangka mencecah 2.5 juta menjelang pertengahan 2026.
Selain memperkukuh kestabilan rangkaian dan konsistensi perkhidmatan, strategi itu turut mengurangkan kerumitan operasi menerusi automasi serta membolehkan penskalaan tanpa peningkatan kos secara berkadar.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Gurtaj Singh Padda berkata pertumbuhan pesat pelanggan membuktikan keberkesanan strategi berteraskan teknologi yang dilaksanakan syarikat.
“Ini bukan sekadar naik taraf. Ini adalah penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap cara sesebuah rangkaian mudah alih beroperasi. Dengan menjadi telko pertama di rantau ini yang melaksanakan seni bina teras berasaskan natif-awan pada skala besar, kami telah membangunkan satu platform yang direka untuk menyokong pertumbuhan pesat, automasi serta inovasi perkhidmatan digital,” katanya.
Seiring pemodenan teras rangkaian, Tune Talk turut membangunkan infrastruktur perayauan miliknya sendiri bagi memperkukuh kawalan kesalinghubungan antarabangsa serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan di luar negara.
Gabungan pelaksanaan teras natif-awan pertama di ASEAN dan keupayaan perayauan proprietari ini meletakkan Tune Talk sebagai MNO digital yang berpandangan jauh, bersedia untuk fasa pengembangan serantau seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial