KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membawa usul itu selepas bacaan kali kedua RUU berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU tersebut.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul tersebut dengan dengan lebih suara bersetuju.
Azalina berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu akan meneliti RUU tersebut termasuk berkenaan mekanisme kawal selia Pendakwa Raya.
“Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara tersebut serta menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan pindaan terhadap rang undang-undang ini dalam tempoh tiga bulan dan boleh melanjutkan tempoh sekiranya perlu,” katanya.
Azalina berkata jawatankuasa itu akan dianggotai beliau sendiri sebagai pengerusi selain 11 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, beliau berkata rang undang-undang berkenaan tidak memperuntukkan sebarang peranan secara langsung kepada Perdana Menteri dalam mencalon, menentukan atau menasihati pelantikan Pendakwa Raya.
Azalina berkata pindaan itu memperuntukkan pelantikan Pendakwa Raya akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara Seri Paduka Baginda atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Ini merupakan satu bentuk semak dan imbang institusi yang berperlembagaan dan profesional, bukan semak dan imbang yang bersifat politik kepartian,” katanya.
Selain itu, Azalina berkata tempoh had jawatan tujuh tahun yang dicadangkan RUU itu adalah selaras dengan amalan beberapa negara Komanwel seperti Kanada dan Australia serta diterima sebagai piawaian institusi bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan kebebasan kepimpinan pendakwaan.
“Ia juga membolehkan pelaksanaan dasar pendakwaan yang konsisten, khususnya dalam kes jenayah berat, kewangan dan komersial yang kompleks, jenayah siber dan prosiding rayuan yang lazimnya berlanjutan bertahun-tahun,” katanya.
Beliau berkata sebarang lanjutan jawatan, jika perlu demi kesinambungan kes besar atau peralihan kepimpinan yang teratur, hendaklah melalui saringan semula oleh SPKP berasaskan merit dan keperluan institusi, bukan pertimbangan politik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial