KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang yang terlibat serta bersubahat dalam dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sekiranya dakwaan berkenaan benar, ia merupakan satu bentuk ancaman luar yang tidak boleh dipandang ringan apatah lagi jika terdapat watak pengkhianat daripada dalam yang sanggup bersekongkol demi kepentingan peribadi.
“Kita memandang serius mengenai dakwaan wujudnya usaha melibatkan firma asing untuk memberi tekanan terhadap sendi dan institusi negara.
“Perkara ini menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menegaskan pihak berkuasa perlu bertindak segera tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak yang terlibat.
“Kita tidak mahu lagi perkara sebegini dilihat sebagai helah politik. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan gerakan yang melibatkan kerjasama antara seorang tokoh tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa pada Khamis.
Siasatan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial