AM

Sokongan Pendidikan, Kemahiran Strategi Tangani Kos Sara Hidup Jangka Panjang - Pakar

28/02/2026 02:40 PM

SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Pendidikan dan peningkatan produktiviti disyorkan menjadi strategi teras jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani tekanan kos sara hidup serta memperbaiki struktur gaji rakyat.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata isu kos sara hidup tidak boleh ditangani hanya melalui bantuan jangka pendek, sebaliknya memerlukan pembetulan struktur ekonomi yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan peningkatan nilai tenaga kerja.

Beliau berkata bantuan kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hanya memberi kelegaan sementara kerana isu kenaikan gaji perlahan, peningkatan harga rumah, sistem percukaian dan ketidakpadanan kerja dengan kelulusan memerlukan reformasi yang lebih agresif oleh kerajaan negeri.

“Langkah jangka panjang ialah memperkukuh pendidikan sebagai penggalak produktiviti dalam sektor ekonomi negeri. Apabila produktiviti meningkat, nilai pekerja turut meningkat dan ini memberi ruang kepada gaji yang lebih tinggi secara mampan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau turut mencadangkan agar laporan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) serta sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dimanfaatkan bagi menganalisis pendapatan bersih rakyat secara lebih tepat, khususnya di negeri berkos tinggi seperti Selangor.

“Laporan PAKW telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan sistem PADU yang dibangunkan seharusnya boleh menganalisis data itu dengan lebih tepat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendapatan isi rumah di Selangor dan seluruh Malaysia meningkat lebih pantas berbanding kadar inflasi, namun kenaikan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian keluarga. 

Beliau berkata berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, purata pendapatan isi rumah di Selangor naik daripada RM12,233 kepada RM13,296 dalam tempoh sama, meningkat 4.2 peratus manakala di daerah Klang yang merangkumi Kapar, pendapatan meningkat daripada RM10,278 kepada RM10,912, iaitu kenaikan 3.0 peratus.

Dalam pada itu, pendapatan median turut meningkat daripada RM6,338 pada 2022 kepada RM7,017 pada 2024 atau 5.1 peratus setahun manakala di peringkat nasional, daripada RM9,983 kepada RM10,726, iaitu 3.6 peratus di peringkat negeri dan daripada RM8,203 kepada RM8,837 atau 3.8 peratus di daerah Klang.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata kerajaan Selangor memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran, perluasan akses pendidikan dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sebagai langkah menangani isu tingkat gaji serta kenaikan kos sara hidup. 

Beliau berkata antara inisiatif yang sedang giat dilakukan ialah memperkasa latihan kemahiran melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sebagai pusat pembangunan bakat serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu. 

Papparaidu berkata melalui peningkatan kemahiran, perluasan akses pendidikan dan kewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi, rakyat berpeluang memperoleh pendapatan lebih stabil dan kompetitif, sekali gus meningkatkan daya tahan ekonomi isi rumah.

“Matlamatnya adalah untuk melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi yang mampu menjana pendapatan lebih baik serta mempunyai daya tahan ekonomi yang kukuh dan kerajaan negeri percaya penyelesaian sebenar kepada isu kos sara hidup ialah meningkatkan keupayaan rakyat, bukan sekadar bergantung kepada bantuan jangka pendek,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan