EKONOMI

Keuntungan Bersih Sime Darby Meningkat Kepada RM431 Juta Pada Suku Kedua

26/02/2026 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Sime Darby Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 31 Disember, 2025, meningkat kepada RM431 juta daripada RM305 juta setahun sebelumnya disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi daripada bahagian permotoran dan kos kewangan lebih rendah.

Sime Darby dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata faktor-faktor positif itu sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan lebih rendah daripada bahagian perindustrian.

Sepanjang suku tersebut, pendapatan naik kepada RM18.97 bilion berbanding RM17.72 bilion dicatatkan sebelum ini.

Bagi separuh tempoh pertama, ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM786 juta disebalik hasil sebanyak RM37 bilion.

Sime Darby berkata keuntungan daripada pelupusan tanah di Malaysia Vision Valley (MVV) telah menghasilkan keuntungan bersih yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata keputusan kukuh berkenaan dicapai dalam keadaan mencabar.

“Walaupun bahagian perindustrian mengalami sedikit cabaran, daya tahan bahagian permotoran Sime Darby dan sumbangan berterusan yang utuh daripada Sime UMW membantu mengekalkan prestasi keseluruhan. Kami kekal fokus untuk mengukuhkan lembaran imbangan syarikat ini, menjana aliran tunai yang sihat dan mengurangkan hutang.

“Hasilnya, terdapat pengurangan ketara dalam kos kewangan kami hampir RM100 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan. Kami akan terus mengutamakan disiplin kewangan dan mempertingkatkan usaha kami untuk mengekalkan bahagian pasaran untuk berhadapan dengan persaingan sengit,” katanya.

Sime Darby mengumumkan dividen interim sebanyak tiga sen sesaham untuk separuh pertama tahun kewangan 2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan